Skip to main content

Malaysia

Obor AUG 2026 simbol semangat Malaysia di pentas ASEAN

KPT
Larian obor dilepaskan dari pekarangan KPT menuju ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum kembali ke KPT. - Foto KPT
Advertisement

KUALA LUMPUR: Larian Obor Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 bermula di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya semalam menjadi simbol semangat kontinjen Malaysia sebagai tuan rumah kepada temasya sukan universiti terbesar di rantau ASEAN itu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyerahkan obor AUG 2026 kepada Ketua Kontinjen Malaysia Prof Dr Mohammad Ismail yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada majlis bersempena Perhimpunan Bulanan KPT.

Zambry berkata atlet negara perlu membawa semangat kemenangan dalam menggalas tanggungjawab mengharumkan nama Malaysia ketika bersaing di temasya itu.

“Bawalah obor Malaysia dan obor kemenangan ini kerana saudara juga membawa obor negara kita, Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Turut mengiringi larian berkenaan empat atlet kebangsaan iaitu atlet lompat jauh Andre Anura Anuar, Nani Sahirah Maryata (lontar peluru), Thevendran Kaliana Sundram (karate) dan Lee Hui Yee dari sukan taekwondo.

Andre dan Nani masing-masing mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM), Thevendran dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), manakala Hui Yee wakil Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Larian obor dilepaskan dari pekarangan KPT menuju ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum kembali ke KPT, manakala perjalanan obor seterusnya akan melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UPM, UPNM, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

AUG 2026 yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 19 Dis bakal menghimpunkan kira-kira 4,669 peserta termasuk 2,849 atlet dan pegawai dari 11 negara, pengadil serta sukarelawan.

Sebanyak 19 sukan akan dipertandingkan masing-masing di Shah Alam, Kuala Lumpur, Serdang dan Bangi dengan tema "Holistic.Excellence”.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement