Skip to main content

Malaysia

Pasukan mana bakal gegar Piala Dunia 2026?

Piala Dunia: Tiket Final cecah RM50,000? Edisi 2026 paling ‘kayangan’ dalam sejarah -- stadiumastro
Dengan lebih banyak pasukan, lebih banyak perlawanan dan lebih banyak kisah luar biasa yang bakal tercipta, debaran peminat di seluruh dunia semakin memuncak menjelang sepak mula kejohanan bermula hari ini (awal pagi Jumaat waktu Malaysia) hingga 19 Julai ini.

KUALA LUMPUR: Setelah empat tahun, pentas bola sepak paling agung di dunia kembali membuka tirainya apabila Piala Dunia 2026 bakal menghimpunkan barisan pemain terbaik dunia dalam saingan yang dijangka lebih sengit, dramatik dan penuh kejutan.

Edisi kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila bukan sahaja dianjurkan di tiga negara, iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, malah buat kali pertama 48 pasukan akan berentap merebut trofi paling berprestij bola sepak dunia, menjadikannya kejohanan terbesar sejak diperkenalkan di Uruguay pada 1930. 

Dengan lebih banyak pasukan, lebih banyak perlawanan dan lebih banyak kisah luar biasa yang bakal tercipta, debaran peminat di seluruh dunia semakin memuncak menjelang sepak mula kejohanan bermula hari ini (awal pagi Jumaat waktu Malaysia) hingga 19 Julai ini.

Pelbagai ramalan juga mula dibuat mengenai pasukan yang berpotensi menjulang trofi kejuaraan. 

Berikut adalah pandangan ramai termasuk pengamal media, atlet dan penggiat industri mengenai pasukan pilihan mereka pada Piala Dunia 2026:

Nama: Arul Rajoo Durar Raj (Ketua Pengarang Bernama) 

Pasukan: Perancis 

Alasan: Perancis memiliki ramai pemain berkualiti termasuk Kylian Mbappe yang juga antara pemain terbaik dunia ketika ini. Kekuatan individu serta kemampuan bermain sebagai satu pasukan yang padu juga menjadikan mereka antara calon utama untuk menjuarai Piala Dunia 2026.

Nama: Ashwad Ismail (Ketua Pengarah Penyiaran RTM) 

Pasukan: Brazil 

Alasan: Brazil sentiasa menjadi pilihan utama kerana identiti permainan beliau dibesarkan dengan rentak permainan "Samba" yang penuh kreativiti, satu gaya permainan ikonik yang telah memukau peminat sejak sekian lama. Nostalgia kehebatan legenda seperti Ronaldinho yang kini diteruskan oleh bintang seperti Neymar membuktikan Brazil tidak pernah ketandusan bakat luar biasa.

Nama: Datuk Christopher Raj (Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR) 

Pasukan: Jepun

Alasan: Jepun berpeluang mencipta sejarah di Piala Dunia 2026 berdasarkan disiplin taktikal yang tinggi serta organisasi permainan yang sangat mantap. Keupayaan mereka menumbangkan pasukan elit dunia dan pengalaman ramai pemain yang kini beraksi di liga utama Eropah menjadi senjata utama untuk mereka bersaing pada peringkat tertinggi.

Nama: Nor Hamzie Md Hambali (Pengarah Rotikaya Media Sdn Bhd) 

Pasukan: Jepun

Alasan: Jepun menjadi pilihan kerana memiliki ramai pemain yang beraksi di liga-liga Eropah, sekali gus memberikan pengalaman berharga kepada skuad kebangsaan dengan kehadiran pemain seperti Kaoru Mitoma dan Wataru Endo, Jepun dilihat mempunyai kualiti serta kekuatan berpasukan untuk mencabar pasukan-pasukan terbaik di Piala Dunia 2026.

Nama: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri/ Presiden Persatuan Badminton Malaysia) 

Pasukan: England 

Alasan: England berpeluang besar menjuarai Piala Dunia 2026 kerana memiliki skuad yang luar biasa terutamanya pada bahagian serangan dan tengah, yang memberikan banyak pilihan taktikal. Kelebihan ini diperkukuh dengan kehadiran pemain berkelas dunia seperti Jude Bellingham yang mampu mengawal tempo permainan serta menjadi pemutus perlawanan pada saat-saat penting.

Nama: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) 

Pasukan: Sepanyol 

Alasan: Sepanyol dipilih kerana memiliki skuad seimbang bertaraf dunia dan status sebagai juara Eropah dengan Lamine Yamal dikenal pasti sebagai pemain tumpuan utama yang bakal memacu kecemerlangan pasukan.

Nama: Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara) 

Pasukan: England 

Alasan: England dipilih sebagai pencabar utama kerana memiliki skuad serba lengkap serta kredibiliti sejarah juara 1966 dengan Declan Rice sebagai pemain tunjang yang menawarkan kerja keras, mentaliti kuat dan kestabilan taktikal di setiap kawasan padang.

Nama: R. Sharmendran (Jurulatih skuad karate negara) 

Pasukan: Portugal 

Alasan: Portugal memiliki skuad paling seimbang dengan pertahanan yang kental serta ketajaman Cristiano Ronaldo. Dengan barisan pemain bintang yang ada, ini peluang terbaik mereka untuk juara, manakala Vitinha bakal menjadi pemain paling menyerlah sebagai nadi kreatif pada bahagian tengah.

Nama: Nurul Azurin Mazlan (Penjaga gol Malayan Tigress) 

Pasukan: Argentina 

Alasan: Argentina dipilih kerana semangat berpasukan yang luar biasa dan kehadiran Lionel Messi dalam penampilan terakhirnya selain faktor ketangkasan Emiliano Martinez sebagai penjaga gol yang berani dan yakin untuk mengukuhkan pertahanan pasukan.

Nama: Nur Mecca Rania Mohd Hazri (Pemain bola sepak wanita negara) 

Pasukan: Portugal/Perancis 

Alasan: Portugal dan Perancis dilihat antara pencabar utama, dan tumpuan terarah kepada gandingan Vitinha dan Bruno Fernandes pada bahagian tengah, dengan Vitinha dianggap pemain yang mampu menjadi pemacu utama pasukan menerusi kecerdikan taktikal dan kawalan permainannya.

Nama: Syazwan Msar (Wartawan Sukan Harian Metro) 

Pasukan: Perancis 

Alasan: Perancis dipilih kerana keseimbangan skuad yang diterajui Kylian Mbappe serta kematangan pemainnya yang kini menjadi tonggak utama dalam pelbagai liga utama dunia dan kelab gergasi Eropah.

Nama: Rizal Hashim (Bekas Wartawan Sukan) 

Pasukan: Brazil 

Alasan: Pemilihan ini dibuat kerana faktor cuaca dan format 48 pasukan memberikan kelebihan kepada pemain yang lebih cergas berbanding bintang liga Eropah yang keletihan, sekali gus membuka peluang besar buat Brazil dan wakil Afrika untuk melangkah lebih jauh.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement