PUTRAJAYA: Penganjuran Women To Women Sports Coaching Symposium 2026 bermula semalam di sini dilihat berupaya memperkukuh penglibatan wanita dalam bidang kepimpinan dan kejurulatihan sukan di negara ini.
Inisiatif oleh Institut Sukan Negara (ISN) itu menghimpunkan pakar, penyelidik serta delegasi dari rantau ASEAN bagi berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam pembangunan sukan wanita.
Advertisement
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, simposium itu bukan sekadar platform pertemuan formal, sebaliknya merupakan anjakan strategik bagi merapatkan jurang antara dapatan kajian saintifik dan pelaksanaan praktikal dalam kejurulatihan.
“Simposium ini lebih daripada sekadar pertemuan minda. Ia adalah platform strategik untuk memastikan ilmu berasaskan bukti memberi manfaat terus kepada atlet dan jurulatih, sambil memperkasakan wanita sebagai pemimpin dalam sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan simposium itu yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Seri Dr. Zulkharnain Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. P. Vellapandian.
Simposium bertemakan Coaching Her Potential: Performance, Purpose, and Progress itu turut melibatkan penyertaan rakan industri yang komited dalam memperkasa pembangunan wanita dalam sukan.
Menurut Mordi, penganjuran tersebut selaras dengan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2026-2030, selain beliau turut menggesa komuniti sukan untuk terus menyokong pembangunan jurulatih wanita melalui peningkatan pengetahuan dan peluang kepimpinan.
Dalam pada itu, turut berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara ISN dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang turut menyaksikan pelancaran Program Sijil Profesional Kecerdasan Buatan (AI) dalam Teknologi Sukan.
Program berkenaan menggabungkan kepakaran pelbagai disiplin melibatkan sains sukan, kejuruteraan dan kecerdasan buatan dengan sokongan pengamal industri dari ISN bagi memastikan aplikasi praktikal dalam sukan berprestasi tinggi.
Simposium Women To Women Sports Coaching 2026 dijadual berlangsung sehingga Khamis ini.
-- BERNAMA