Skip to main content

Malaysia

PETRONAS tunjang inovasi dan prestasi Mercedes F1

Setakat ini, Mercedes mendahului Kejuaraan Pengeluar dengan 578 mata, mengatasi Ferrari yang mengumpul 444 mata. - Foto Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team
Setakat ini, Mercedes mendahului Kejuaraan Pengeluar dengan 578 mata, mengatasi Ferrari yang mengumpul 444 mata. - Foto Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kepakaran teknikal PETRONAS menjadi antara tunjang prestasi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS dalam Formula Satu (F1), menerusi pembangunan bahan api yang disepadukan dengan teknologi unit kuasa dan casis bagi menghasilkan jentera kompetitif.

Ketua Pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toto Wolff berkata, kerjasama yang terjalin sejak 2010 itu kini melangkaui penajaan apabila kedua-dua pihak beroperasi sebagai satu pasukan dengan matlamat kejuruteraan dan prestasi yang sama.

“Kerjasama ini bermula sebagai kerjasama pemasaran, tetapi hari ini kami beroperasi sebagai sebuah organisasi yang bersepadu sepenuhnya.

“Pasukan Mercedes Formula Satu tidak dapat dibayangkan tanpa PETRONAS dan kami berharap hubungan ini turut membanggakan Malaysia,” katanya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI di ibu negara.

Mengulas peranan PETRONAS sebagai rakan penaja utama dan teknikal, Wolff berkata, sumbangannya berkait langsung dengan kecemerlangan kejuruteraan pasukan.

“PETRONAS merupakan sebahagian daripada usaha mencapai kecemerlangan kejuruteraan dalam pasukan.

“Kami mempunyai bahagian casis yang menghasilkan kereta serta bahagian unit kuasa yang membangunkan enjin dan komponen elektrik, manakala PETRONAS membekalkan bahan api untuk menyokong semua ini dan kejayaan pasukan,” jelasnya.

Kerjasama itu turut merangkumi pembangunan Bahan Api Mampan Termaju PETRONAS atau Advanced Sustainable Fuel (ASF), yang dirumus khusus untuk unit kuasa hibrid bagi memenuhi keperluan baharu F1 musim 2026.

Menurut PETRONAS, pembangunan bahan api tersebut turut dilengkapi minyak enjin PETRONAS Syntium dan bendalir PETRONAS Tutela yang diformulasi selaras dengan perubahan beban haba, keperluan elektrik serta suhu operasi unit kuasa baharu.

Image
PETRONAS F1
Foto Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team

Sementara itu, Timbalan Ketua Pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1, Bradley Lord menyifatkan perubahan peraturan musim 2026 sebagai yang terbesar pernah disaksikannya dalam sukan berkenaan, sekali gus mengubah landskap persaingan.

Menurutnya, peralihan itu membuka peluang kepada Mercedes kembali mencabar kejuaraan dunia selepas beberapa musim berdepan kesukaran untuk bersaing di hadapan.

“Kami sudah lama mengetahui bahawa perubahan ini merupakan peluang besar untuk kembali ke hadapan selepas beberapa tahun sukar bersaing merebut kejuaraan.

“Banyak usaha bersama PETRONAS dicurahkan untuk membangunkan bukan sekadar enjin terbaik, bahan api terbaik atau casis terbaik, tetapi pakej bersepadu terbaik yang menggabungkan semuanya.

“Saya berpendapat kami memulakan musim ini selangkah di hadapan pesaing dan berjaya mempertahankan kelebihan itu, malah dalam sesetengah keadaan memperkukuhnya seiring perjalanan musim,” katanya.

Bradley turut menekankan bahawa pendekatan bersepadu itu menuntut penyelarasan rapat antara pakar teknologi bahan api PETRONAS dengan pasukan kejuruteraan Mercedes.

“Bagai isi dengan kuku, kami ibarat satu pasukan dan sejak awal lagi kami menetapkan sasaran yang sangat tinggi bersama-sama.

“Usaha yang amat besar dicurahkan oleh pasukan teknologi bahan api yang berpangkalan di Kuala Lumpur, rangkaian global PETRONAS serta pasukan kejuruteraan kami di Brixworth yang membangunkan enjin dan di Brackley yang membangunkan casis.

“Ini merupakan kisah kerjasama berpasukan dan kerja keras yang melibatkan malam yang panjang serta hujung minggu yang dihabiskan dengan bekerja, bukannya di rumah, demi mengejar setiap milisaat terakhir prestasi,” tambahnya.

Image
PETRONAS F1
Foto Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team

Di luar litar, PETRONAS memaklumkan bahawa pengetahuan daripada pembangunan ASF turut dimanfaatkan dalam pembangunan bahan api komersial seperti PETRONAS Primax di Malaysia dan Brazil, memperluas penggunaan hasil penyelidikan perlumbaan kepada pengguna jalan raya.

Setakat ini, Mercedes mendahului Kejuaraan Pengeluar dengan 578 mata, mengatasi Ferrari yang mengumpul 444 mata.

Kimi Antonelli pula menerajui Kejuaraan Pemandu dengan 340 mata, diikuti rakan sepasukannya, George Russell dengan 238 mata.

Must Watch Video

Advertisement