Skip to main content

Malaysia

PKBM perkenal Liga Super Perlumbaan BMX gantikan Siri YSD

KUALA LUMPUR, 19 Jun -- Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media mengenai masa depan John Beasley dalam sukan berbasikal Malaysia di sini, hari ini.
Amarjit berkata inisiatif itu akan memastikan pembangunan dan laluan persaingan bagi sukan lumba BMX di Malaysia terus berjalan, dengan perancangan untuk mengembangkan program berkenaan pada 2027. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil keputusan untuk memperkenalkan Liga Super Perlumbaan BMX, dengan dua pusingan pertama akan diadakan pada 28 dan 29 Nov ini, susulan keputusan Yayasan Sime Darby (YSD) menamatkan kerjasama serta penganjuran Siri Berbasikal Trek dan BMX YSD 2026.

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill menerusi kenyataan hari ini berkata inisiatif itu akan memastikan pembangunan dan laluan persaingan bagi sukan lumba BMX di Malaysia terus berjalan, dengan perancangan untuk mengembangkan program berkenaan pada 2027.

Amarjit berkata keputusan YSD itu sememangnya mendukacitakan, khususnya kerana PKBM percaya perkara berkenaan boleh diselesaikan di peringkat kepimpinan YSD.

“Insiden yang membawa kepada isu berkenaan hanya dimaklumkan kepada PKBM pada akhir Mac 2026. Susulan itu PKBM mendapatkan penjelasan lanjut dan memberikan ruang yang mencukupi supaya isu berkenaan dapat ditangani.

“Kami mengakui dan menghargai sumbangan YSD kepada sukan berbasikal Malaysia selama ini. Bagaimanapun, tanpa mengira sejauh mana sumbangan yang diberikan, rasa saling menghormati antara pihak berkepentingan serta penghormatan terhadap badan induk kebangsaan kekal sebagai asas kepada sebarang hubungan kerja yang profesional dan mampan,” katanya.

Amarjit, yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia berkata pembangunan atlet akan diteruskan tanpa bergantung kepada mana-mana individu atau organisasi. Walaupun rakan kerjasama dan program mungkin berubah, tanggungjawab PKBM sebagai badan induk kebangsaan untuk membangunkan sukan itu serta menyediakan peluang kepada atlet tidak berubah.

Sementara itu, beliau berkata bagi acara berbasikal trek, PKBM akan terus memperkukuh laluan pembangunan sedia ada, khususnya menerusi program Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) yang dilaksanakan secara bersama oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan PKBM bagi menyediakan platform kukuh untuk mengenal pasti dan membangunkan pelumba basikal trek muda.

“Mesej kami kepada pelumba, ibu bapa, jurulatih dan kelab adalah jelas, iaitu pembangunan diteruskan. PKBM akan memastikan peluang terus tersedia dan laluan untuk generasi pelumba basikal Malaysia terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata PKBM kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkongsi objektif untuk memajukan sukan berbasikal Malaysia menerusi profesionalisme, kerjasama dan sikap saling menghormati.

Sebelum ini, YSD mengumumkan bahawa penangguhan siri perlumbaan itu dibuat susulan beberapa perkara teknikal yang melibatkan PKBM.

 – BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement