Ringkasan AI
- Zuhairie Ahmad Tarmizi memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam acara ujian masa 1,000 meter C4-C5 lelaki.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas kejayaan Zuhairie yang turut memecahkan rekod temasya pada peringkat kelayakan.
- Kemenangan Zuhairie di Velodrom Izu menandakan permulaan cemerlang kontinjen Malaysia pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pelumba berbasikal trek para negara Zuhairie Ahmad Tarmizi atas kejayaan meraih pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menerusi hantaran di platform X hari ini, Anwar berkata lebih manis, kejayaan Zuhairie diserikan apabila atlet itu turut meleburkan rekod temasya pada saingan peringkat kelayakan.
“Tahniah dan syabas Zuhairie Ahmad Tarmizi. Satu permulaan yang membanggakan apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat negara dalam acara Men’s C4-C5 1000M Time Trial di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Teruskan kayuhan dan cipta lebih banyak kejayaan. Seluruh rakyat Malaysia bangga dengan anda,” katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu, Zuhairie menghadiahkan pingat emas sulung buat kontinjen Malaysia pada temasya itu selepas mengungguli acara ujian masa 1,000 meter (m) C4-C5 (kecacatan fizikal) lelaki hari ini.
Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Izu, Zuhairie yang bertanding dalam kategori C5 mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mencatatkan masa terpantas 1 minit 05.361 saat (s), sekali gus mengesahkan kedudukan di podium tertinggi.
Pingat emas itu juga adalah pingat pertama Malaysia pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
-- BERNAMA