KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri Selangor atas komitmen serta kerja keras sebagai tuan rumah bagi menjayakan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Beliau berkata penganjuran yang tersusun dan meriah membuktikan keupayaan Selangor mengangkat temasya sukan negara dengan penuh semangat serta kebersamaan.
Anwar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, pegawai dan urus setia yang terlibat serta mengingatkan bahawa pentas SUKMA bukan sekadar soal pingat tetapi gelanggang mencungkil bakat selain melahirkan juara.
“Kepada anak-anak muda, teruskan berjuang dan asah bakat kerana insya-Allah, ada antara kalian yang bakal menggalas nama Malaysia di pentas dunia. Tahniah semua! Teruskan melangkah dan terus mengharumkan nama negara.
“Tahniah juga kepada saudari Eliza Tan Ai Shen dari Selangor dan saudara Cheah Zen Hong dari Pahang yang dinobatkan sebagai Atlet Wanita dan Lelaki Terbaik. Lebih manis, tuan rumah Selangor muncul Juara Keseluruhan SUKMA 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut menjunjung kasih atas keberangkatan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Majlis Penutupan SUKMA edisi ke-22 malam tadi.
Menerusi hantaran sama, Anwar turut mengimbau pentas SUKMA yang dilancarkan 40 tahun lepas hasil cetusan ilham beliau ketika menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 1983.
“Alhamdulillah, hari ini SUKMA terus menjadi medan menyatukan bakat, semangat dan daya juang anak-anak muda dari seluruh negara termasuk Brunei Darussalam,” katanya.
-- BERNAMA