JOHOR BAHRU: Kematangan dan semangat berpasukan yang tinggi menjadi kunci utama kejayaan skuad hoki remaja negara menjuarai Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14 selepas menewaskan Pakistan menerusi penentuan penalti di Stadium Hoki Johor, di sini, malam tadi.
Ketua Jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, secara keseluruhannya, beliau melihat barisan pemain muda negara kini semakin matang dan berdisiplin mengikut struktur taktikal yang diaturkan.
"Secara keseluruhannya, saya rasa para pemain sudah nampak lebih matang, main dengan struktur yang kita arahkan… mereka bermain dengan (semangat) berpasukan, bukan secara individu, no more dribbling... jadi, kita ada good setup, good technical yang kita main," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Beliau berkata, barisan pemain yang berumur lingkungan 18 hingga 20 tahun itu juga mempunyai ruang untuk terus melangkah lebih jauh jika diberi lebih banyak pendedahan.
"Kalau mereka dapat main dengan pasukan yang lebih kuat, saya rasa pasukan ini boleh menghasilkan satu pasukan yang baik untuk pasukan kebangsaan," katanya.
Menyentuh mengenai corak permainan Pakistan pada perlawanan itu, Nor Saiful berkata pihak lawan dilihat lebih banyak bergantung kepada serangan balas Young Tigers.
"Kita nampak Pakistan menunggu serangan balas, dia sebenarnya sangat skillfull... setiap kali kita hilang bola, mereka balas… tetapi hari ini banyak serangan balas mereka kita dapat tahan, especially in quarter tiga dan quarter empat," katanya.
Pada masa sama, beliau memuji ketenangan penjaga gol negara, Mohamad Adib Amsyar Mohammad Hanif dan ketajaman barisan pemain untuk menjaringkan gol ketika berdepan penentuan penalti.
Dalam pada itu, Nor Saiful berkata, skuad negara tidak mempunyai masa rehat yang panjang apabila dijadualkan berlepas ke India esok untuk beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Emas MCC Murugappa All India.
Beliau berkata, beberapa rombakan pemain akan dilaksana bagi kejohanan itu sekali gus berharap pasukan dapat memberikan aksi terbaik.
Terdahulu, Young Tigers menewaskan Pakistan 4-3 menerusi penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Young Tigers menamatkan penantian 13 tahun untuk menjuarai kejohanan berkenaan selepas kali terakhir memenanginya pada 2011.
-- BERNAMA