Ringkasan AI
- Datuk Abdul Latif Romly memenangi pingat emas keempat berturut-turut dalam acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji semangat Abdul Latif yang berjaya mempertahankan kejuaraan walaupun kurang sihat.
- Kejayaan Abdul Latif menyumbang pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly yang merangkul pingat emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Beliau memuji semangat kental atlet negara itu kerana tetap memberikan aksi terbaik bagi mempertahankan kejuaraannya walaupun berhadapan dengan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.
“Alhamdulillah, Malaysia raih emas ketiga! Tahniah Datuk Abdul Latif Romly yang meraih pingat emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Saudara Abdul Latif memperlihatkan daya juang luar biasa apabila tetap memberikan yang terbaik meskipun kurang sihat, hingga berjaya mengekalkan kejuaraan. Semangat saudara membanggakan kita semua!” kata beliau menerusi media sosial hari ini.
Anwar turut menitipkan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara untuk meneruskan perjuangan memburu kejayaan di temasya tersebut.
“Kepada atlet-atlet negara yang lain, teruskan berjuang, kekal fokus dan berikan yang terbaik. Ayuh terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia!” kata beliau.
Pada aksi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, Abdul Latif mencatat lompatan terbaik 7.39 meter (m) untuk mengesahkan kejuaraan yang dimenanginya sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Abdul Latif yang juga pemegang rekod dunia dengan catatan 7.67m meraih emas pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia dan edisi 2022 di Hangzhou, China.
Kejayaan Abdul Latif menyumbang pingat emas ketiga buat kontinjen negara pada temasya kali ini.
-- BERNAMA