Skip to main content

Malaysia

Sukan Para Asia: Liek Hou rangkul emas SU5 bersama Mohamad Faris selepas 12 tahun

Kejayaan merangkul pingat emas itu adalah yang ketiga Liek Hou dalam acara beregu pada temasya berkenaan selepas pernah menjuarainya bersama Suhaili Laiman pada edisi Guangzhou 2010 dan Incheon 2014. - Foto FB Taufiq Johari
Kejayaan merangkul pingat emas itu adalah yang ketiga Liek Hou dalam acara beregu pada temasya berkenaan selepas pernah menjuarainya bersama Suhaili Laiman pada edisi Guangzhou 2010 dan Incheon 2014. - Foto FB Taufiq Johari

Advertisement

Ringkasan AI

  • Cheah Liek Hou dan Mohamad Faris Ahmad Azri menjuarai beregu lelaki SU5 di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 tanpa sebarang kekalahan.
  • Kemenangan ini menamatkan penantian 12 tahun Cheah untuk emas beregu, selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2014.
  • Pingat emas ini merupakan yang pertama untuk skuad badminton dan keempat keseluruhan buat kontinjen Malaysia pada temasya tersebut.

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou membuktikan kehebatannya apabila sekali lagi muncul juara acara beregu lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, kali ini bergandingan dengan Mohamad Faris Ahmad Azri selepas kali terakhir merangkul gelaran itu pada edisi 2014.

Kejayaan manis menamatkan penantian 12 tahun itu hadir menerusi saingan format liga sepusingan tanpa sebarang kekalahan di Gimnasium Perbandaran Ichinomiya.

Pada aksi final hari ini, gandingan negara itu menundukkan wakil Korea Selatan Jeon Sunwoo-Kim Gi Yeon secara straight set 21-8, 21-13, sekali gus mengesahkan kedudukan teratas carta liga dengan mengumpul enam mata maksimum hasil tiga kemenangan bersih.

Berdasarkan kedudukan akhir saingan liga empat pasangan itu, pingat perak menjadi milik gandingan Thailand Pricha Somsiri-Nattaphon Thaweesap yang menamatkan cabaran di tempat kedua dengan mengumpul empat mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan.

Tempat ketiga dan pingat gangsa pula diraih pasangan Taiwan Fang Jen Yu-Pu Gui Yu yang mengutip dua mata menerusi satu kemenangan dan dua kekalahan manakala Sunwoo-Gi Yeon berpuas hati di tempat keempat tanpa sebarang mata selepas tewas dalam kesemua tiga perlawanan.

Kejayaan merangkul pingat emas itu adalah yang ketiga Liek Hou dalam acara beregu pada temasya berkenaan selepas pernah menjuarainya bersama Suhaili Laiman pada edisi Guangzhou 2010 dan Incheon 2014.

Emas hari ini juga adalah pingat emas pertama skuad badminton dan yang keempat buat kontinjen Malaysia pada temasya empat tahun sekali itu.

Tiga emas terdahulu disumbangkan jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin (lelaki bawah 72kg), atlet lompat jauh Datuk Abdul Latif Romly (T20) dan pelumba basikal Zuhairie Ahmad Tarmizi (ujian masa 1,000 meter C4-C5).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement