Skip to main content

Malaysia

TFC tekad kutip tiga mata di laman sendiri

61718422709_TFC.jpg
Mohd Nafuzi berkata pemain perlu kembali ke landasan kemenangan bagi memastikan skuad Penyu mampu mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini. - Gambar fail
Advertisement

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri bagi mengutip tiga mata penuh menjelang perlawanan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam esok.

Ketua jurulatih TFC Mohd Nafuzi Zain berkata pemain perlu kembali ke landasan kemenangan bagi memastikan skuad Penyu mampu mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini.

Oleh itu, katanya pemain perlu kekal fokus dan tidak mengulangi kesilapan sama bagi meraih semula kepercayaan peminat, selain mengelak daripada dimalukan di hadapan penyokong sendiri.

"Kita agak kecewa kerana tewas di tempat sendiri di tangan Selangor FC baru-baru ini. Tetapi kita perlu terima hakikat untuk bangkit dan ambil peluang yang ada.

"Bertemu Penang FC kita tidak boleh lagi keciciran mata. Kita tahu Penang FC berada pada tahap motivasi terbaik selepas menang ke atas Melaka FC pada saingan Piala FA dua hari lepas tetapi saya yakin pemain kita juga sudah belajar daripada kesilapan dan akan beri yang terbaik untuk perlawanan malam esok," katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Gong Badak.

Bekas pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu, berkata setakat ini semua pemain bebas daripada kecederaan namun sedikit rombakan akan dilakukan pada barisan kesebelasan utama berikutan masalah kecerdasan serta keletihan susulan jadual perlawanan yang padat.

Sementara itu, pemain sayap TFC yang baharu G.Pavithran berharap diberi peluang membuat penampilan pertama pada malam esok.

Pemain kebangsaan itu berkata beliau sudah mula memahami corak permainan yang diterapkan ketua jurulatih dan membina persefahaman yang baik dengan rakan sepasukan.

"Saya selesa bersama pasukan dan semakin memahami cara kami bermain. Jika diberi peluang pada malam esok, fokus saya adalah untuk memberikan impak dan membantu pasukan mencapai keputusan yang positif.

"Kami sudah membuat persiapan yang baik dan tahu apa yang perlu dilakukan. Sasaran kami jelas untuk mendapatkan tiga mata di laman sendiri," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement