KUALA LUMPUR: Laman web penstriman haram didapati 17.3 kali lebih berisiko berbanding laman web arus perdana, sekali gus mendedahkan pengguna kepada ancaman keselamatan siber termasuk penipuan kewangan, kecurian identiti dan perisian hasad.
Dapatan itu berdasarkan kajian bebas oleh pakar keselamatan siber, Profesor Paul Watters, yang mendapati 66 peratus laman web cetak rompak dinilai mempunyai risiko keselamatan siber pada tahap tinggi atau kritikal.
"Sekitar 54 peratus laman web berkenaan mempunyai aktiviti mencurigakan berkaitan penipuan, pancingan data (phishing) atau perbuatan berniat jahat, manakala 44 peratus mendedahkan pengguna kepada iklan berbahaya," menurut kajian berkenaan.
Sementara tu, Pengarah Undang-Undang Penguatkuasaan Liga Perdana Inggeris, Stefan Sergot berkata, penstriman haram mungkin dilihat sebagai pilihan percuma dan mudah, namun ia boleh membawa risiko keselamatan kepada pengguna.
“Penstriman haram dianggap sebagai cara percuma dan mudah untuk menonton bola sepak, tetapi kajian menunjukkan perkhidmatan tersebut boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai risiko siber,” katanya.
Sehubungan itu, kempen Boot Out Piracy kembali dilaksanakan di Malaysia dengan kerjasama Astro sebagai rakan penyiar tempatan bagi meningkatkan kesedaran peminat bola sepak mengenai bahaya penggunaan perkhidmatan penstriman tanpa kebenaran.
Kempen itu menampilkan pemain Liga Perdana Inggeris, termasuk kapten Liverpool, Virgil van Dijk, penyerang Manchester United, Bryan Mbeumo dan pemain Arsenal, Eberechi Eze, menerusi siri video yang mengetengahkan risiko siber berkenaan.
Seterusnya, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Hal Ehwal Korporat Astro, Laila Saat berkata, peminat perlu memilih saluran tontonan yang sah bagi memastikan pengalaman menonton bola sepak lebih selamat dan berkualiti.
“Astro akan terus bekerjasama rapat dengan Liga Perdana Inggeris, pihak berkuasa dan rakan industri untuk meningkatkan kesedaran, membanteras cetak rompak serta melindungi pelanggan dan nilai kandungan yang mereka nikmati,” katanya.
Kempen Boot Out Piracy turut mengingatkan pengguna supaya berwaspada terhadap tawaran akses percuma yang mencurigakan, permintaan memasang aplikasi tidak disahkan, permintaan maklumat sensitif serta laman web yang memaparkan iklan dan pengalihan secara tiba-tiba.