KUCHING: Misi Kuching City FC memburu tiga mata pertama di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2026/2027 tidak kesampaian selepas terikat 1-1 dengan kelab Hong Kong, Kitchee SC dalam aksi Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin di sini malam tadi.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada babak pertama, namun Kitchee SC dilihat lebih pantas melancarkan serangan sehingga beberapa kali mengancam benteng tuan rumah.
Kuching City bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi gol sendiri penjaga gol Kitchee SC, Pong Cheuk Hei Bear.
Gol itu berpunca daripada hantaran ke belakang Callum Beattie yang gagal ditangkap kemas Bear sebelum bola menerjah gawang sendiri untuk memberikan kelebihan awal kepada skuad The Cats.
Kitchee SC hanya memerlukan 12 minit untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan kemas Everton Camargo yang memanfaatkan hantaran Victor Camarasa untuk menewaskan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Aksi kemudian sedikit tegang dengan pemain tuan rumah Ariff Farhan dilayangkan kad kuning pada minit ke-27 selepas melakukan terjahan terhadap Kendy Ikegami.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan terus memburu gol pendahuluan dengan saling melancarkan serangan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC terus menerajui Kumpulan H dengan enam mata, diikuti Kitchee SC dengan dua mata, manakala Kuching City dan kelab Korea Selatan, Gangwon FC masing-masing mengumpul satu mata.
Kuching City dijadual meneruskan saingan kumpulan menentang Gangwon FC di Gangneung Stadium, Korea Selatan pada 29 Okt ini.
-- BERNAMA