JURANG data jaringan antara Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dan bakal lawan dari Asia Barat memberi gambaran jelas betapa getir cabaran menanti Harimau Selatan di pentas suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Pandangan itu disuarakan bekas pertahanan negara, Asmawi Bakiri, yang melihat perbezaan ketara dari segi ketajaman serangan serta kekuatan skuad boleh menjadi faktor penentu.
Advertisement
Menurutnya, tidak kira sama ada JDT bakal berdepan Al-Ahli Saudi FC atau Al-Duhail SC, kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain bertaraf bintang yang mampu menggugat anak buah Xisco Muñoz.
“Perbezaan kualiti itu memang ada, terutama dari segi pengalaman dan keupayaan penyudah. JDT perlu lebih bersedia dari semua aspek,” katanya.
Untuk rekod, JDT melakar sejarah tersendiri apabila mara ke suku akhir buat kali pertama selepas menyingkirkan wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima, dengan agregat 3-2 dalam pusingan 16 terbaik.
Sebagai wakil tunggal negara yang masih bersaing, cabaran seterusnya jelas lebih mencabar apabila mereka bakal menentang sama ada juara bertahan Al-Ahli atau kelab gergasi Qatar, Al-Duhail, yang masih bersaing untuk merebut slot ke suku akhir.
Walaupun berdepan laluan sukar, pencapaian JDT setakat ini sudah membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di peringkat tertinggi Asia — namun untuk terus melangkah jauh, konsistensi dan disiplin taktikal bakal menjadi kunci utama.
- Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com