KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pelumba berbasikal trek para negara Zuhairie Ahmad Tarmizi atas kejayaan meraih pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menerusi hantaran di platform X, beliau berkata Zuhairie mengharumkan nama negara selepas menjuarai acara ujian masa 1,000 meter (m) C4-C5 lelaki dengan catatan masa terpantas 1 minit 05.361 saat (s).
“Kejayaan ini lebih bermakna apabila Zuhairie menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.
Ahmad Zahid turut berharap pencapaian itu menjadi pembakar semangat kepada seluruh atlet para negara untuk terus berjuang menempa kejayaan.
“Semoga pencapaian membanggakan ini menjadi pembakar semangat buat seluruh atlet para negara untuk terus berjuang, melakar kejayaan dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan. Tahniah, Zuhairie! Syabas wira negara!” katanya.
Terdahulu, Zuhairie menghadiahkan pingat emas sulung buat kontinjen Malaysia pada temasya itu selepas mengungguli acara ujian masa 1,000m C4-C5 (kecacatan fizikal) lelaki, pada Isnin.
Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Izu, Zuhairie yang bertanding dalam kategori C5 mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mencatat masa terpantas 1:05.361s, sekali gus mengesahkan kedudukan di podium tertinggi.
-- BERNAMA