Skip to main content

Sukan

Aichi-Nagoya 2026: Izzah Izzati pacu momentum, Malaysia intai emas ketujuh

Nurul Izzah Izzati memenangi pingat gangsa dalam final acara keirin wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Velodrom Izu, 30 Sept 2026. --fotoBERNAMA
Nurul Izzah Izzati memenangi pingat gangsa dalam final acara keirin wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Velodrom Izu, 30 Sept 2026. --fotoBERNAMA

Advertisement

NAGOYA: Pelumba trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencuri tumpuan pada hari ke-12 Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila menghadiahkan pingat gangsa keirin wanita, sekali gus meneruskan rentak positif kontinjen Malaysia pada temasya itu semalam.

Atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu turut melakarkan nama sebagai pelumba wanita kedua negara memenangi pingat acara keirin di pentas Sukan Asia selepas Fatehah Mustapa melakukannya pada edisi Incheon 2014.

Kejayaan itu membantu menambah koleksi pingat Malaysia kepada enam emas, lima perak dan 12 gangsa setakat ini.

Di Velodrom Izu, tumpuan turut terarah kepada Datuk Mohd Azizulhasni Awang selepas bekas juara dunia itu mara ke suku akhir acara pecut lelaki yang dijadual berlangsung esok, manakala cabaran Muhammad Shah Firdaus Sahrom berakhir pada pusingan repechage.

Arena e-sukan pula menyumbang dua gangsa selepas skuad Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) masing-masing terkandas pada peringkat separuh akhir.

Sementara itu, skuad skuasy lelaki dan wanita negara meneruskan kemaraan apabila masing-masing mencatat kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir.

Skuad lelaki menewaskan Jepun untuk menempah pertemuan dengan India di separuh akhir, manakala pasukan wanita mengatasi Macau dan bakal berdepan tuan rumah Jepun bagi merebut tiket ke final.

Dalam perkembangan lain, kempen terjun negara berakhir tanpa sebarang pingat individu, kali pertama sejak penyertaan Malaysia pada Sukan Asia Busan 2002.

Hari ini, The Pocket Rocketman akan meneruskan cabaran dalam suku akhir pecut lelaki, manakala Izzah Izzati dan Nur Alyssa Mohd Farid bakal turun beraksi dalam acara pecut individu wanita.

Di lapangan memanah, pemanah compound negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh akan berdepan wakil Korea Selatan Park Jungyoon pada suku akhir, sementara skuad hoki lelaki negara menentang Korea Selatan dalam aksi separuh akhir.

Dengan beberapa acara berpotensi menyumbang pingat masih menanti, kontinjen negara berpeluang menambah koleksi enam emas yang diraih setakat ini.

Malaysia memerlukan tiga lagi emas untuk menyamai pencapaian terbaik sembilan emas yang pernah dicatatkan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, manakala empat emas diperlukan untuk mencipta rekod baharu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement