Skip to main content

Sukan

All England 2026: Satu slot separuh akhir milik Malaysia

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka menjadi sandaran utama ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini sekiranya BAM menetapkan sasaran memburu pingat emas._Sinar Harian
Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka menjadi sandaran utama ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini sekiranya BAM menetapkan sasaran memburu pingat emas. - Foto Sinar Harian

MALAYSIA sudah mengesahkan sekurang-kurangnya satu slot ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2026.

Kejayaan itu hadir selepas beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berentap sesama sendiri menentang rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir di Birmingham pada Jumaat.

Advertisement

Pada aksi pusingan kedua di Utilita Arena Birmingham itu, Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan kedua kejohanan terpaksa bermandi peluh sebelum menundukkan cabaran sengit rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.

Wei Chong-Kai Wun pula menempah tiket ke kelompok lapan terbaik selepas menyingkirkan beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin, 21-14, 21-18.

Turut mara ke suku akhir ialah pasangan beregu wanita nombor satu negara yang juga pilihan kedua kejohanan, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya menewaskan wakil Korea Selatan, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo, 21-14, 21-14 dalam aksi selama 43 minit.

Menanti Pearly-Thinaah dalam perebutan tiket ke separuh akhir ialah gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Dalam pada itu, langkah beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan juara remaja dunia 2024, Kang Khai Xing-Aaron Tai terhenti di pusingan kedua.

Sze Fei-Izzuddin terpaksa akur tewas 21-23, 16-21 kepada gandingan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat.

Khai Xing-Aaron Tai pula memberikan tentangan sengit sebelum tewas 19-21, 17-21 di tangan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi.

Turut terkandas ialah perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao serta pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tewas kepada lawan masing-masing.

Jun Hao tumbang 9-21, 13-21 kepada bintang Jepun, Koki Watanabe, manakala Soon Huat-Shevon disingkirkan oleh pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 16-21, 18-21. - Sinar Harian

 

Must Watch Video