Skip to main content

Sukan

Antonelli akui impikan gelaran juara dunia F1 termuda

Kimi Antonelli ketika ditemu bual di Singapura, 11 Okt 2026. (Foto AP)
Kimi Antonelli ketika ditemu bual di Singapura, 11 Okt 2026. (Foto AP)

Advertisement

SINGAPURA: Kimi Antonelli mengakui kini berani mengimpikan gelaran juara dunia Formula Satu (F1) selepas semakin hampir meraih kejuaraan itu di Grand Prix (GP) Singapura, lapor PA Media/dpa.

Max Verstappen mencatat kemenangan kedua berturut-turut, yang juga kemenangan pertamanya di Singapura, pada penampilan ke-250 dalam F1. Aksi dominannya melengkapkan hujung minggu yang sempurna dengan turut memenangi acara pecut dan meraih dua petak utama.

Walaupun pemanduannya yang cukup meyakinkan mengingatkan kembali kehebatannya ketika meraih gelaran juara dunia, kejayaan itu hadir pada penghujung musim yang sukar buat Red Bull, dengan Verstappen masih ketinggalan 119 mata di belakang Antonelli yang selesa mendahului kedudukan kejuaraan.

Pemandu Itali itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas melakukan pecutan pada penghujung perlumbaan, sekali gus melebarkan kelebihannya kepada 102 mata berbanding pencabar terdekat George Russell, yang menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan selepas bermula dari petak terakhir.

Keputusan itu bermakna Antonelli berpeluang menjadi juara dunia termuda dalam sejarah F1 pada usia hanya 20 tahun di Circuit of the Americas, Texas, dalam tempoh dua minggu lagi. Beliau perlu mendahului pencabar terdekat dengan kelebihan 126 mata selepas perlumbaan di Texas itu, dengan andaian kesemua enam pusingan yang dijadualkan dapat dilangsungkan, sesuatu yang masih diragui berikutan konflik di Asia Barat.

Lewis Hamilton juga masih mempunyai peluang dalam perebutan gelaran itu apabila berada 111 mata di belakang pendahulu kejuaraan.

Pemandu Mercedes itu diberitahu oleh bekas juara dunia Jenson Button ketika sesi temu bual selepas perlumbaan bahawa beliau kini berada di ambang mencipta sejarah.

"Bolehkah saya? Betulkah?! Baiklah, jangan kita terlalu memikirkannya," jawab Antonelli.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengakui bahawa impiannya kini semakin hampir menjadi kenyataan.

"Sudah tentu (saya berani mengimpikannya). Saya tahu gelaran itu sudah sangat hampir, saya tahu peluang itu ada, tetapi saya perlu memastikan saya terus memberikan prestasi terbaik. Saya perlu turun berlumba untuk menang dan beraksi sebaik mungkin," kata Antonelli.

"Hujung minggu ini, saya rasa pemanduan saya tidak begitu baik. Saya rasa saya boleh melakukan yang lebih baik.

"Saya tidak sabar untuk kembali berlumba di Austin, tetapi akhirnya, jika saya tidak menjalankan tugas dengan baik, keputusan yang diharapkan tidak akan diperoleh."

Sementara itu, harapan Russell untuk merebut gelaran juara dunia semakin terjejas selepas terbabit dalam kemalangan sehingga gagal menamatkan acara pecut pada Sabtu, seminggu selepas mengalami kegagalan enjin di Malaysia. 

Beliau terpaksa bermula dari petak terakhir susulan pertukaran unit kuasa dan hanya mampu bangkit untuk meraih dua mata.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement