Skip to main content

Sukan

Atlet ketahanan jadi individu pertama berenang sepanjang pantai California

Catherine Breed tiba di pantai Coronado selepas berjaya menamatkan cabaran berenang sejauh hampir 900 batu (1,448 kilometer) sepanjang pesisir pantai California, AS. - Foto AP
Catherine Breed tiba di pantai Coronado selepas berjaya menamatkan cabaran berenang sejauh hampir 900 batu (1,448 kilometer) sepanjang pesisir pantai California, AS. - Foto AP

Advertisement

LOS ANGELES: Atlet sukan ketahanan ekstrem Catherine Breed muncul individu pertama berjaya berenang sepanjang pantai California sejauh kira-kira 1,448 kilometer, menamatkan cabaran itu dalam tempoh kurang empat bulan.

Menurut Reuters, atlet berusia 33 tahun yang berasal dari kawasan Teluk San Francisco itu melengkapkan perjalanan selama 111 hari dari sempadan Oregon hingga ke sempadan maritim Amerika Syarikat-Mexico pada Isnin lalu.

Sepanjang ekspedisi tersebut, Breed berdepan pelbagai cabaran termasuk arus laut yang kuat, ribut, kehadiran jerung serta pencemaran air, sambil berenang sehingga lima jam sehari.

Beliau berenang pada jarak antara tiga hingga lima batu dari pesisir pantai dan mencatat purata kira-kira 10.3 batu sehari.

Breed turut mengambil rehat selama 18 hari sama ada mengikut jadual atau disebabkan cuaca buruk.

Menurut jurucakap ekspedisi Swim California, William Rinehart, antara cabaran terbesar ialah arus laut yang bergerak ke utara di kawasan utara California, yang menjadi lebih kuat akibat fenomena El Nino.

Bagi mengekalkan tenaga sepanjang cabaran itu, Breed mengambil lebih 6,000 kalori sehari.

Menjelang penghujung ekspedisi, beliau turut mengambil antibiotik sebagai langkah pencegahan terhadap jangkitan akibat pencemaran kumbahan berhampiran sempadan California-Mexico.

Breed berkata beliau menjalani misi tersebut bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan laut dan perlindungan ekosistem marin yang rapuh.

"Saya mahu menceritakan bagaimana lautan telah mengubah hidup saya dan saya mahu orang ramai melindungi pantai ini," katanya dalam rakaman video yang dibuat sebelum memulakan ekspedisi itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement