Skip to main content

Sukan

Badminton: Ee Wei jalani imbasan MRI Isnin ini - Rexy

KUALA LUMPUR, 20 Mac -- Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei ketika ditemu ramah wartawan pada sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Bukit Kiara hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky berkata tahap kecederaan dialami Ee Wei (gambar) masih belum dapat dipastikan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran utama negara Toh Ee Wei dijangka menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) pada Isnin ini selepas mengalami kecederaan lutut kiri ketika beraksi pada suku akhir Terbuka Singapura semalam.

Perkembangan terbaharu itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky yang berkata tahap kecederaan dialami Ee Wei masih belum dapat dipastikan.

“Berdasarkan laporan (perubatan), (ahli fisioterapi) beliau masih belum dapat menentukan keadaan sebenar sehingga doktor melakukan imbasan MRI pada Isnin,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan laporan yang dikongsikan Rexy, Ee Wei telah menerima rawatan perubatan dan kini sedang dinilai oleh pasukan perubatan skuad kebangsaan.

Semalam, Ee Wei dan pasangannya Chen Tang Jie gagal menamatkan perlawanan suku akhir Terbuka Singapura selepas pemain itu mengalami kecederaan.

Juara dunia itu mendahului 18-16 menentang pasangan ranking ke-28 dunia dari India Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, sebelum menarik diri selepas 24 minit permainan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement