LONDON: Barcelona telah melengkapkan perpindahan penyerang Brazil, Gabriel Jesus daripada Arsenal, umum kedua-dua kelab itu, lapor PA Media/dpa.
Pemain berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak tiga tahun dengan juara Sepanyol berkenaan selepas The Gunners menerima tawaran yang difahami bernilai £8.6 juta (AS$11.6 juta).
Jesus menjaringkan 32 gol dalam 123 penampilan bersama Arsenal selepas menyertai kelab itu dari Manchester City menerusi perjanjian bernilai £45 juta (AS$61 juta) pada 2022.
Beliau menghabiskan masa hampir 10 tahun dalam kancah bola sepak Inggeris, memenangi empat gelaran Juara Liga Perdana Inggeris bersama City dan gelaran kelima juara bersama Arsenal musim lepas.
Arsenal berkata dalam satu kenyataan: “Kami mengucapkan terima kasih kepada Gabby atas sumbangannya kepada kelab sepanjang empat tahun bersama kami dan mendoakan kebahagiaan serta kejayaan buat beliau dan keluarganya pada masa hadapan.”
Beliau merupakan seorang daripada dua pemain yang diumumkan meninggalkan Arsenal pada hari terakhir pasaran perpindahan, dengan Fabio Vieira turut membuat perpindahan tetap ke kelab Bundesliga, Hamburg.
Pemain tengah berusia 26 tahun itu menghabiskan musim lepas secara pinjaman bersama kelab Jerman berkenaan selepas tidak lagi berada dalam perancangan pengurus Mikel Arteta.
Vieira menyertai Arsenal dengan nilai £34 juta (AS$46 juta) dari Porto pada 2022 tetapi hanya beraksi sebagai kesebelasan utama dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa