SEPANG: Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley, akan mengusulkan sendiri calon jurulatih atau barisan teknikal baharu skuad berbasikal negara bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan itu kekal di landasan terbaik selepas kontraknya berakhir.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata perancangan masa depan sukan berbasikal negara tidak akan terhenti begitu sahaja, sebaliknya ia akan berpandukan kepada pelan tindakan yang telah dirangka Beasley sendiri.
"Kita telah mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa dengan tamatnya John Beasley punya kontrak, maka ia tidak pergi begitu saja. Ia mesti disusuli dengan pelan tindakan yang telah pun disediakan.
"Kemudian akan ada perbincangan susulan bersama dengan Majlis Sukan Negara dan pemilihan jurulatih ataupun dari segi teknikal dan sebagainya juga akan diusulkan ataupun dicadangkan oleh John Beasley sendiri supaya kita nak memastikan bahawa pembangunan sukan berbasikal dalam keadaan yang baik dan kita tidak hanya tangkap muat saja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pendaftaran sukarelawan Formula 1 Grand Prix Bahrain di Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata kriteria pemilihan pengganti atau pengisian jawatan teknikal tersebut mestilah memenuhi piawaian tinggi yang telah terbukti keberkesanannya sebelum ini.
"Ia mesti mengikut piawaian ditetapkan dan juga piawaian itu mestilah berdasarkan prestasi yang sebelum ini telah pun terbukti prestasi tersebut.
"Jadi sebarang pemilihan itu tidak hanya dibuat sebelah pihak saja tetapi kita juga ingin mendengar ataupun mendapatkan pelan tindakan yang telah dibincangkan dan dipersetujui John Beasley sebelum ini," katanya.
Terdahulu, Beasley yang telah berkhidmat lebih sedekad bersama skuad berbasikal trek kebangsaan dilaporkan bakal menamatkan kontraknya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju program elit berbasikal negara selepas ini.
Sebelum ini, dilaporkan Kejohanan Dunia di Shanghai pada 14 hingga 18 Okt ini merupakan penampilan terakhir Beasley bersama skuad berbasikal trek Malaysia setelah sekian lama berkhidmat.
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh mengesahkan Beasley telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai pengarah teknikal sukan tersebut dengan notis tiga bulan.
Sebelum memegang jawatan sebagai pengarah teknikal, Beasley merupakan ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan sejak 2006.
Sementara itu, Mohammed Taufiq sedang giat mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan berhubung inisiatif pelepasan cukai bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan sektor korporat dan swasta dalam pembangunan sukan negara.
-- BERNAMA