Skip to main content

Sukan

Bola sepak England berdepan risiko kewangan serius, 94 peratus kelab catat kerugian

Kelab bola sepak England kini berada dalam kedudukan yang “terdedah secara berbahaya” kepada risiko kewangan apabila 94 peratus kelab dalam lima divisyen teratas beroperasi dalam kerugian, menurut laporan Pengawal Selia Bola Sepak Bebas (IFR). - Gambar hiasan/ Reuters
Kelab bola sepak England kini berada dalam kedudukan yang “terdedah secara berbahaya” kepada risiko kewangan apabila 94 peratus kelab dalam lima divisyen teratas beroperasi dalam kerugian, menurut laporan Pengawal Selia Bola Sepak Bebas (IFR). - Gambar hiasan/ Reuters

Advertisement

LONDON: Kelab bola sepak England kini berada dalam kedudukan yang “terdedah secara berbahaya” kepada risiko kewangan apabila 94 peratus kelab dalam lima divisyen teratas beroperasi dalam kerugian, menurut laporan Pengawal Selia Bola Sepak Bebas (IFR).

IFR yang ditubuhkan tahun lalu mencadangkan kawalan kos lebih ketat serta perancangan kontingensi sebagai sebahagian daripada pelan enam perkara bagi meningkatkan kemampanan kewangan bola sepak England.

Draf laporan State of the Game, yang akan melalui proses rundingan awam selama lapan minggu sebelum versi akhir diterbitkan, mendapati hampir dua pertiga kelab Liga Bola Sepak England (EFL) dan National League berdepan masalah kewangan serius serta semakin bergantung kepada suntikan dana pemilik untuk terus bertahan.

Kelab-kelab itu juga didapati semakin bergantung kepada suntikan dana daripada pemilik masing-masing.

“Walaupun sebahagian kelab kita adalah antara yang terkaya dan paling kompetitif di dunia, yang lain berada di ambang bencana kewangan.

“Sebilangan besar kelab memberitahu kami bahawa mereka tidak akan mampu bertahan sekiranya pemilik mereka menarik diri,” kata Pengerusi IFR, David Kogan.

Badan pengawal selia itu berkata, kelab perlu mengurus risiko kewangan dengan lebih berkesan serta menyediakan pelan kontingensi sekiranya pemilik menarik balik sokongan kewangan.

Setiausaha Kebudayaan Britain, Lisa Nandy pula berkata, penemuan berkenaan memberikan gambaran suram mengenai kedudukan kewangan kelab bola sepak England.

“Selama bertahun-tahun, penyokong bola sepak hidup dengan kebimbangan bahawa kelab mereka mungkin hanya memerlukan seorang pemilik yang buruk atau satu bulan yang sukar sebelum berdepan kehancuran.

“Laporan ini bukan sahaja mengesahkan kebimbangan itu, malah mendedahkan dengan amat jelas keadaan sebenar kewangan kelab bola sepak di England hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Liga Perdana Inggeris sokong laporan

Liga Perdna Inggeris (EPL) berkata, pihaknya bersetuju dengan kecenderungan laporan berkenaan yang mahukan penyelesaian diterajui industri bola sepak dalam soal pengagihan hasil.

“Seperti dijelaskan dalam laporan itu, pembiayaan baharu perlu berjalan seiring dengan kawalan kewangan yang berkesan serta pembaharuan lebih meluas bagi memperkukuh kedudukan kelab,” menurut liga berkenaan dalam satu kenyataan.

EPL kini sedang berunding dengan EFL mengenai perjanjian baharu perkongsian hasil.

Laporan media menyebut kelab Premier League menawarkan £1.8 bilion (AS$2.38 bilion) dalam tempoh 10 tahun, sebagai tambahan kepada pembiayaan sedia ada.

Bagaimanapun, EFL dilaporkan meminta £1 bilion dalam tempoh lima tahun.

“Kami percaya cadangan yang dikemukakan kepada EFL, yang diluluskan sebulat suara oleh kelab Premier League pada Julai, memenuhi objektif yang digariskan IFR dalam laporannya,” menurut Premier League.

Tiada tekanan politik dalam kes Manchester City

Sementara itu, Kogan menegaskan, beliau tidak menerima sebarang tekanan politik susulan keputusan sebuah suruhanjaya bebas yang mendapati Manchester City bersalah melakukan pelanggaran serius peraturan kewangan Premier League.

Manchester City telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan dan terus menegaskan bahawa kelab itu tidak bersalah.

Kelab berkenaan turut mendakwa pandangan suruhanjaya terbabit mengandungi “kesilapan material yang jelas”.

IFR mempunyai kuasa untuk menilai kesesuaian pemilik kelab berkaitan salah laku kewangan, sekali gus membuka kemungkinan pemilikan Manchester City boleh berdepan penelitian sekiranya kelab itu gagal dalam rayuannya.

“Saya telah menjelaskan bahawa sebarang bentuk campur tangan politik terhadap cara kami beroperasi akan menyebabkan saya meletakkan jawatan,” kata Kogan kepada wartawan di National Football Museum, Manchester.

“Untuk saya jelaskan dengan sejelas-jelasnya, kami sama sekali tidak menerima sebarang tekanan politik mengenai perkara ini atau mana-mana isu lain,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement