KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei menyasarkan penganjuran satu kejohanan peringkat tempatan dan satu antarabangsa tahun depan, sebagai kesinambungan Piala Kejohanan Badminton Lee Chong Wei.
Beliau berkata menerusi penganjuran tahun ini, ia bertujuan memberi pendedahan awal mengenai suasana pertandingan antarabangsa kepada pemain remaja, supaya mereka tidak kekok apabila melangkah ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.
“Mungkin tahun hadapan saya sasarkan satu kejohanan tempatan dan satu kejohanan antarabangsa, remaja, dan ini tahun pertama saya, jadi berharap mungkin ada tempat berapa bagus punya masa, saya juga belajar untuk kejohanan ini juga,” katanya di Kejohanan Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, hari ini.
Chong Wei turut menekankan aspek perincian teknikal seperti penyediaan kerusi pemain dan jurulatih di tepi gelanggang, bagi memastikan kualiti kejohanan berada pada tahap terbaik selaras dengan standard profesional.
Beliau berkata perancangan kejohanan tersebut telah dibuat sejak setahun lalu, dengan penyelarasan rapi bersama BAM bagi memastikan ia tidak bertembung dengan kalendar kejohanan sedia ada, selain memanfaatkan waktu cuti sekolah.
Kejohanan selama sembilan hari itu melibatkan kategori bawah 13, 15 dan 17 tahun, dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000, dengan juara perseorangan bawah 17 tahun lelaki dan wanita, masing-masing akan membawa pulang RM5,000.
Pemain yang mendaftar akan memulakan saingan pada peringkat kelayakan, dengan 32 pemain terbaik mara ke undian Grand Finals yang melibatkan 64 pemain, sebelum disertai 32 pemain negeri yang telah dipilih terlebih dahulu.
-- BERNAMA