Skip to main content

Sukan

Darjah Bakti suntik semangat Azizulhasni hadapi Komanwel, Sukan Asia terakhir

KUALA LUMPUR, 1 Jun -- Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang menerima Darjah Bakti (DB) ditemui media selepas Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Azizulhasni yang menerima Darjah Bakti (DB) ditemui media selepas Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Penganugerahan Darjah Bakti menjadi suntikan semangat buat jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang menjelang penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.

Azizulhasni, 38, merupakan penerima tunggal Darjah Bakti pada Istiadat Pengurniaan Darjah, Pingat dan Bintang Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.

“Sukan Komanwel (berlangsung) hujung Julai manakala Sukan Asia hujung September. Ia (penganugerahan Darjah Bakti) akan menjadi penyuntik semangat untuk saya yang akan menjadi (penampilan) akhir di Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya kepada Bernama selepas istiadat itu.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu berkata penerimaan Darjah Bakti antara detik paling bermakna sepanjang kariernya sebagai atlet negara.

Dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman, Azizulhasni menyifatkan pengiktirafan itu satu penghormatan besar memandangkan Darjah Bakti antara anugerah tertinggi negara.

“Pada awalnya, saya seperti tidak percaya tetapi apabila dimaklumkan mengenainya, saya terima dengan penuh rasa syukur dan berbesar hati,” katanya.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan mengurniakan anugerah berkenaan kepadanya.

Pada masa sama, Azizulhasni berharap pengiktirafan itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada atlet negara untuk terus bekerja keras dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Kalau kita berjuang dengan ikhlas untuk negara, sentiasa mengharumkan nama negara dan menjaga nama baik negara, insya-Allah hasil keringat itu akan dihargai.

“Paling penting kita kejar kejayaan itu dahulu dan berikan yang terbaik untuk negara yang kita cintai. Perkara lain akan datang kemudian, insya-Allah,” katanya.

Azizulhasni melakar sejarah sebagai atlet ketiga negara menerima Darjah Bakti selepas Datuk Seri Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David, masing-masing pada 2021 dan 2024.

Penganugerahan Darjah Bakti merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap dedikasi, kecemerlangan serta sumbangan berterusan Azizulhasni dalam mengangkat martabat sukan berbasikal dan memperkukuh reputasi Malaysia di persada dunia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement