TEHRAN: Iran mengesahkan hasrat untuk menyertai Piala Dunia bola sepak musim panas ini, namun menuntut beberapa jaminan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan negara tuan rumah di tengah ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.
Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) menyatakan pasukan kebangsaan akan bertanding tanpa berkompromi terhadap “kepercayaan, budaya dan prinsip” negara itu, sambil menegaskan kebimbangan mereka perlu diberi perhatian.
Presiden FFIRI, Mehdi Taj, berkata Iran telah mengemukakan 10 syarat kepada FIFA, termasuk jaminan semua pemain, jurulatih dan pegawai diberikan visa, terutama mereka yang pernah berkhidmat dengan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC), organisasi yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Kanada dan Amerika Syarikat (AS).
Iran turut menuntut jaminan layanan hormat terhadap bendera dan lagu kebangsaan, selain aspek keselamatan di lapangan terbang, hotel dan stadium sepanjang kejohanan yang dijadual bermula 11 Jun di AS, Mexico dan Kanada.
Walaupun FIFA boleh menyelia logistik dan protokol kejohanan, isu visa dan keselamatan masih tertakluk kepada kuasa negara tuan rumah.
Washington sebelum ini menyatakan pemain Iran dialu-alukan, namun individu berkaitan IRGC mungkin berdepan sekatan.
Keadaan itu meletakkan FIFA dalam dilema untuk memastikan semua pasukan layak dapat bertanding sambil mengimbangi realiti politik antara Tehran dan Washington.
Ketegangan semakin memuncak susulan konflik antara Iran, Israel dan sekutu AS sebelum ini, walaupun kini berada dalam keadaan gencatan senjata rapuh.
Dalam masa sama, Iran juga meminta wartawan tidak mengemukakan soalan di luar isu teknikal bola sepak, namun pemerhati menyifatkan sukan dan politik sukar dipisahkan dalam konteks negara itu.
Meskipun cabaran wujud, Iran tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menarik diri, sebaliknya rundingan terus berlangsung bagi memastikan penyertaan mereka dalam kejohanan tersebut berjalan lancar.