Skip to main content

Sukan

JDT juara Liga Super kali ke-12 berturut-turut

JOHOR Southern Tigers
Kemenangan itu meletakkan skuad Harimau Selatan di takhta liga dengan berbaki lima perlawanan, sekali gus meneruskan dominasi mereka dalam saingan liga utama bola sepak negara sejak 2014. - Gambar Facebook Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut selepas menewaskan DPMM FC 3-0 pada pertembungan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei malam ini.

Kemenangan itu meletakkan skuad Harimau Selatan di takhta liga dengan berbaki lima perlawanan, sekali gus meneruskan dominasi mereka dalam saingan liga utama bola sepak negara sejak 2014.

Advertisement

JDT hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-20 menerusi percubaan pertahanan Antonio Glauder yang menampan masuk bola hasil sepakan percuma, namun gol itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kedudukan ofsaid.

Pasukan pelawat terus memberi tekanan dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-28, namun penjaga gol DPMM Muhammad Haimi Abdullah Nyaring melakukan aksi cemerlang menafikan percubaan tepat Corbin Ong ke penjuru bawah gawang.

Gol pembukaan akhirnya hadir pada minit ke-33 apabila sepakan percuma Ager Aketxe terkena tiang sebelum bola melantun masuk ke dalam gawang bagi memberikan kelebihan 1-0 kepada JDT.

DPMM hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-52, namun rembatan pemain tengah Ibrahim Sulley sedikit melepasi palang gol.

Tuan rumah sekali lagi dikecewakan apabila jaringan Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-55 dibatalkan selepas dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

JDT kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-74 menerusi Oscar Arribas yang melepaskan rembatan kencang dari jarak dekat selepas menerima hantaran Afiq Fazail, sebelum Marcos Guilherme menambah derita tuan rumah menerusi gol ketiga untuk memastikan kemenangan 3-0 JDT.

Di penghujung perlawanan, pemain pertahanan DPMM Mohammad Fairuz Zakaria dilayangkan kad merah pada masa tambahan selepas menyiku Glauder, sekali gus menyaksikan pasukan kendalian McAllister James Reynolds itu menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Selepas 19 perlawanan, anak buah Francisco Javier Munoz mengumpul 57 mata dengan rekod kemenangan 100 peratus.

Sementara itu, Selangor FC naik satu anak tangga ke kedudukan kedua selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 3-2 dalam aksi mendebarkan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Kapten Selangor Mohamad Faisal Abdul Halim membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 sebelum skuad Gergasi Merah terpaksa menunggu sehingga ke separuh masa kedua untuk menggandakan kedudukan menerusi penyudah Diarra Mamadou pada minit ke-63.

Hugo Boumous menambah gol ketiga Selangor pada minit ke-70 bagi meletakkan pelawat dalam kedudukan selesa sebelum KL City cuba bangkit menerusi jaringan Madger Gomes pada minit ke-72 diikuti Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-87, namun gagal mengelak kekalahan di laman sendiri.

Keputusan itu menyaksikan Selangor di bawah bimbingan Kim Pan Gon mengumpul 42 mata selepas 20 perlawanan untuk berada di tangga kedua liga, manakala Kuching City yang beraksi kurang satu perlawanan di kedudukan ketiga dengan 40 mata.

Dalam pada itu, Che Rashid Che Halim muncul wira Melaka FC apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu pasukan menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC 2-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol Enzo Nicolas Jacques Celestine pada minit ke-12, namun Melaka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem sebelum Che Rashid meledak gol kemenangan pada minit ke-66.

-- BERNAMA

Must Watch Video