KELAB Liga Thailand, Ratchaburi FC, mengumumkan perpisahan mengejut dengan pemain import mereka, Jonathan Vieira, selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak berkuat kuasa 11 Okt.
Keputusan itu mencuri perhatian penyokong bola sepak serantau memandangkan pemain berusia 36 tahun tersebut baru menyertai The Dragons kira-kira empat bulan lalu.
Menerusi pengumuman rasmi kelab, Jonathan tidak lagi bersama pasukan bermula semalam, sekali gus menamatkan tempoh singkatnya bersama gergasi Thailand itu.
Setakat ini, tiada penjelasan terperinci diberikan mengenai punca sebenar perpisahan tersebut, menyebabkan pelbagai persoalan timbul dalam kalangan penyokong yang membanjiri ruangan komen media sosial kelab.
Sepanjang bersama Ratchaburi, pemain kelahiran Sepanyol itu membuat lima penampilan dalam semua kejohanan termasuk aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Shanghai Port bulan lalu.
Untuk rekod, Jonathan pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) pada awal 2025 sebelum meninggalkan juara Liga Super itu pada Julai tahun sama.
Sepanjang tempohnya bersama Harimau Selatan, beliau merekodkan empat penampilan.