Skip to main content

Sukan

Kairi Sane, Aleister Black, Wyatt Sicks antara bintang dilepaskan WWE

WWE
Dunia WWE dikejutkan dengan gelombang pelepasan bintang sejurus selepas WrestleMania 42, melibatkan beberapa nama besar yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada naratif utama. - Foto Instagram/@official_kairi/@aleisterblxck/@wwenikkicross

DUNIA WWE baru-baru ini telah dimeriahkan dengan kehadiran beberapa bintang dari NXT yang semakin menyerlah di 'main roster' sepanjang tahun ini.

Nama-nama seperti Stephanie Vaquer, Giulia, Lash Legend, Oba Femi, Trick Williams dan Je'Von Evans kini mula mencuri tumpuan dan mendapat perhatian, diikuti kemasukan lebih baharu seperti Sol Ruca, Ethan Page, Joe Hendry, Fatal Influence, Blake Monroe serta Ricky Saints.

Advertisement

Peralihan generasi ini memperlihatkan WWE semakin memberi ruang kepada bakat baharu untuk membentuk corak masa depan syarikat tersebut.

Meskipun begitu, peminat turut dikejutkan dengan gelombang pelepasan bintang sejurus selepas acara WrestleMania 42, melibatkan beberapa nama besar yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada naratif utama.

Antara yang paling mencuri perhatian termasuk Aleister Black, Zelina Vega, Kairi Sane serta kumpulan Wyatt Sicks yang terdiri daripada Bo Dallas (Uncle Howdy), Nikki Cross, Joe Gacy, Dexter Lumis dan Erick Rowan.

Pelepasan ini dilihat sesuatu yang mengejutkan, khususnya melibatkan Aleister Black serta isterinya, Zelina, yang berada dalam momentum positif di sejak kembali ke WWE setahun lalu.

Keserlahan Black sebelum ini memberi bayangan bahawa dia sedang menuju ke arah posisi lebih tinggi, namun perkembangan tersebut tidak menjadi kenyataan.

Dalam divisyen wanita, Kairi Sane pula dilihat masih relevan dalam penceritaan atau 'storyline' melibatkan Asuka dan Iyo Sky, menjadikan keputusannya meninggalkan syarikat sebagai satu lagi persoalan besar dalam kalangan peminat.

Kumpulan Wyatt Sicks pula, yang diperkenalkan sebagai penghormatan kepada mendiang Bray Wyatt, menjadi antara elemen unik WWE sejak kemunculan mereka.

Namun selepas beberapa bulan terlibat dalam rivalri dengan Solo Sikoa dan MFT, perjalanan mereka dilihat berakhir, sekali gus membuka ruang kepada perubahan baharu dalam penceritaan WWE.

Turut antara yang dilepaskan ialah Dante Chen, yang mencipta sejarah sebagai bintang WWE pertama dari Singapura.

Selain itu, duo berpengalaman Motor City Machine Guns juga tersenarai, menutup satu lagi bab penting bagi pasukan yang cukup dikenali dalam dunia gusti profesional.

Selain nama-nama tersebut, beberapa lagi bintang turut dilaporkan dilepaskan termasuk Apollo Crews, Santos Escobar, Zoey Stark dan lain-lain, menandakan satu lagi fasa peralihan dalam struktur roster WWE.

Secara keseluruhan, situasi ini mencerminkan perubahan besar yang sedang berlaku dalam WWE, iaitu di satu sisi, kebangkitan generasi baharu dari NXT, dan di sisi lain, pengakhiran perjalanan beberapa nama yang pernah menjadi tunjang sukan hiburan tersebut.

Ia sekali gus memberi gambaran bahawa landskap WWE bakal terus berkembang dan berubah, dengan fokus kini terarah kepada masa depan yang sedang dibentuk.
 

Must Watch Video