Skip to main content

Sukan

KBS bermesyuarat secara mingguan pastikan persiapan F1 lancar

PUTRAJAYA, 7 Ogos -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Rakan Demokrasi:Kuasa Orang Muda 2026 di Menara KBS hari ini.
Mohammed Taufiq berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Rakan Demokrasi:Kuasa Orang Muda 2026 di Menara KBS, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengadakan mesyuarat penyelarasan setiap minggu hingga penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain bagi memastikan semua persiapan, termasuk aspek keselamatan dan protokol berjalan lancar.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata mesyuarat yang diadakan setiap Selasa, melibatkan jawatankuasa induk serta jawatankuasa teknikal, selain lapan jawatankuasa kecil yang diwujudkan bagi menyelaras persiapan perlumbaan.

"Daripada mesyuarat ini kita akan dapat berbincang dan ada kemas kini. Setakat ini semua dalam keadaan yang sempurna," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Rakan Demokrasi menerusi inisiatif Kuasa Orang Muda (KOM) di sini hari ini.

Dr Mohammed Taufiq berkata sebelum ini kerajaan menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menyelaras persiapan penganjuran GP Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata jawatankuasa itu membabitkan jawatankuasa induk yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan satu lagi jawatankuasa teknikal di bawah KBS bagi memastikan setiap aspek persiapan berjalan lancar mengikut garis masa ditetapkan.

Menurut beliau, kerajaan setakat ini memperuntukkan RM16 juta bagi penganjuran GP Bahrain, manakala sebarang kos tambahan masih dalam perbincangan dan akan diumumkan selepas semua rundingan dimuktamadkan.

"Kita masih dalam perbincangan lagi sama ada akan ada sedikit kos tambahan atau sebagainya, dankita akan umum selepas segala perbincangan dilaksanakan dan dimuktamadkan. Tetapi setakat ini, kos tersebut adalah seperti yang dipersetujui," katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata pasukan teknikal Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah menjalankan pemeriksaan baru-baru ini dan berpuas hati dengan keadaan semasa trek dan tidak menemukan sebarang isu besar.

"Jadi (penutupan litar) untuk tempoh daripada 7 Sept ini hingga hari penganjuran, sebenarnya diminta sendiri pihak FIA dan Formula One Management (FOM) untuk menyelenggara dari segi litar serta beberapa perkara yang pihak Bahrain International Circuit (BIC) lihat perlu untuk tambah baik.

"Kemudian akan ada sesi latihan dan ujian litar untuk memastikan bahawa litar SIC dalam keadaan baik, berfungsi dengan baik dan selamat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan SIC dijangka ditutup kepada orang ramai bermula 7 Sept ini hingga tamat penganjuranGP Bahrain bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan, ujian dan persiapan akhir dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement