Skip to main content

Sukan

KBS pastikan peruntukan sukan diagih secara adil, saksama - Mohammed Taufiq

Dr Mohammed Taufiq bercakap kepada wartawan ketika ditemu bual sebelum menyertai program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Belanjawan 2027: Agenda Belia, Aspirasi Sukan Negara " pada Khamis. - Gambar Bernama
Dr Mohammed Taufiq bercakap kepada wartawan ketika ditemu bual sebelum menyertai program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Belanjawan 2027: Agenda Belia, Aspirasi Sukan Negara " pada Khamis. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan memastikan pengagihan peruntukan pembangunan dalam bidang itu yang diumumkan pada Belanjawan 2027 disalurkan secara adil serta saksama kepada semua persatuan sukan kebangsaan.

Menteri berkenaan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, fokus pengagihan itu akan mengambil kira potensi setiap sukan terutamanya yang mampu menyumbang pingat di pentas antarabangsa dan persiapan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Kita pastikan pengagihan kepada persatuan-persatuan sukan itu sesuai dengan apa yang diharapkan. Maknanya, kita melihat dari segi prospek sukan itu dalam memberikan pulangan pingat dan sudah pasti sukan-sukan Olimpik menjadi keutamaan,” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 memaklumkan, sebanyak RM460 juta disediakan bagi pembangunan sukan negara merangkumi usaha memperkasa program berprestasi tinggi dan inisiatif Road to Gold (RTG).

Peruntukan itu juga meliputi program pembangunan atlet para dan atlet pekak, selain penyelenggaraan kemudahan sukan di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Taufiq berkata, pihaknya mahu kawasan luar bandar turut mendapat manfaat daripada peruntukan Geran Padanan Sukan berjumlah RM30 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Beliau berkata, pengagihan peruntukan itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan pembangunan sukan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar sebaliknya turut memberi peluang kepada bakat baharu di peringkat akar umbi untuk diketengahkan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement