Skip to main content

Sukan

Kejohanan Dunia: Azizulhasni dedah dua insiden himpitan jejas peluang ke separuh akhir keirin

Azizulhasni terkeluar di peringkat suku akhir acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia akibat dua insiden himpitan pelumba Poland. - Gambar fail/Bernama
Azizulhasni terkeluar di peringkat suku akhir acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia akibat dua insiden himpitan pelumba Poland. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Datuk Azizulhasni Awang terkeluar di peringkat suku akhir acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia akibat dua insiden himpitan pelumba Poland.
  • Azizulhasni berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik acara pecut individu dengan catatan masa 9.564 saat pada pusingan kelayakan.
  • Beliau menegaskan objektif utama tercapai dengan mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan berharap sokongan rakyat Malaysia berterusan.

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan dua insiden himpitan membabitkan pelumba Poland menjadi antara faktor utama beliau terkandas di peringkat suku akhir acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Shanghai, China dari 14 hingga 18 Okt lepas.

Pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu berkata insiden pertama berlaku ketika beliau sedang melakukan pecutan selepas memasuki selekoh pertama, namun masih mampu meneruskan kayuhan.

Azizulhasni bagaimanapun mendedahkan beliau sekali lagi dihimpit dengan lebih kuat di selekoh ketiga, sekali gus menjejaskan momentum dan kelajuan sehingga menyebabkannya menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir.

“Jika tidak berlaku dua himpitan, terutama himpitan kuat itu, saya yakin saya dapat meluru ke hadapan untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya. 

“Namun, itu adalah lumrah dalam acara keirin dan pelbagai kebarangkalian boleh berlaku apabila kita berlumba dengan enam pelumba dalam satu masa. Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Azizulhasni ketika mengulas mengenai acara pecut individu pula berkata beliau berjaya melepasi sasaran peribadi untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 teratas pada pusingan kelayakan apabila mencatatkan masa 9.564 saat (s) untuk berada di kedudukan kelapan daripada 33 pelumba yang layak ke Kejohanan Dunia itu.

Menurut Azizulhasni, meskipun berjaya memenangi pusingan pertama menentang David Ortego Fontalvo dari Colombia, beliau terpaksa akur tumpas pada pusingan kedua menentang Harry Ledingham-Horn dari Great Britain.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, cabaran pada Kejohanan Dunia di Shanghai kali ini adalah untuk mengekalkan kekuatan dan kecerdasan pada tahap tertinggi selepas menempuh musim yang panjang serta mencabar.

“Sudah tentu prestasi dan persiapan untuk kejohanan dunia kali ini bukanlah yang terbaik jika dibandingkan dengan pencabar dari negara lain.

“Namun, secara keseluruhan saya telah mencapai objektif utama di sini, iaitu membawa pulang sebanyak mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28),” katanya.

Beliau juga berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh dan mengikuti perjalanan pada dua musim (tahun) akan datang dalam misi melayakkan diri ke temasya sukan berprestij itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement