Skip to main content

Sukan

Kejohanan selepas Aidilfitri jadi kayu ukur prestasi Umar musim ini

Olahraga Malaysia sebulat suara memilih Umar Osman untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo, Jepun atas tiket wildcard selepas tiada seorang atlet pun layak secara meri
Umar adalah pemegang rekod kebangsaan 400m dengan catatan masa 46.09s yang dibuat di China pada 2023. - Gambar fail/Astro ARENA

KUALA LUMPUR: Atlet pecut kebangsaan Umar Osman bertekad untuk menjadikan kejohanan pertama yang akan disertai selepas perayaan Aidilfitri sebagai penanda aras prestasinya musim ini. 

Umar berkata selepas terlepas peluang mempertahankan pingat emas dalam acara 400 meter (m) pada Sukan SEA 2025 di Thailand akibat kecederaan hamstring, beliau terpaksa berehat panjang dan kini memberi tumpuan kepada kecergasan fizikal bersama jurulatih Mohd Jironi Riduan, yang mula melatihnya awal tahun ini.

Advertisement

Beliau berkata keputusan pada kejohanan yang akan disertainya itu juga penting dalam menentukan peluang memperbaharui rekod kebangsaan dan melayakkan diri ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, selain mempertahankan pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Malaysia.

“Saya menduduki tempat kelima pada Sukan SEA tahun lepas dan prestasi saya terus menurun. Selepas habis temasya itu, saya tidak menyertai mana-mana pertandingan. Jadi, saya masih belum pasti sama ada badan cergas atau tidak. Sasaran belum ditetapkan lagi sebab ia bergantung pada kejohanan pertama selepas ini.

“Saya akan sertai Terbuka Singapura atau kejohanan di Malaysia pada April ini tapi masih belum pasti sertai kejohanan mana kerana tarikh kedua-dua kejohanan itu bertembung. Nanti kita tengok macam mana,” katanya kepada Bernama. 

Ketika ditanya mengenai rutin hariannya pada bulan puasa sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan, pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja itu berkata latihan kecergasan masih dijalankan dengan intensiti tinggi pada waktu petang dan malam, dengan satu hari rehat pada setiap minggu. 

Umar turut memaklumkan sehingga kini beliau masih belum mempunyai rakan sepelatih khusus untuk acara 400m, sebaliknya akan berlatih bersama pelari 800m lelaki negara Wan Muhammad Fazri Wan Zahari untuk mengekalkan motivasi dan rentak.

“Saya sendiri tidak pasti berapa lama akan berlatih dengan jurulatih Mohd Jironi kerana Majlis Sukan Negara mungkin akan menempatkan jurulatih dari luar negara untuk sesi latihan khusus tapi fokus saya sekarang adalah untuk pastikan prestasi kembali berada pada tahap terbaik,” katanya.

Pada Sukan SEA 2025, atlet berusia 22 tahun itu menamatkan perlumbaan dalam acara 400m di kedudukan kelima dengan catatan 47.13 saat (s) manakala dalam acara 800m, beliau berada di tempat keempat, sekali gus terlepas peluang menaiki podium.

Umar adalah pemegang rekod kebangsaan 400m dengan catatan masa 46.09s yang dibuat di China pada 2023.

Sementara itu, ketika menyentuh persiapan Aidilfitri tahun ini, beliau bersyukur kerana sekali lagi berpeluang menyambut lebaran di Johor Bahru dan tidak sabar untuk menikmati juadah kegemarannya seperti ayam masak merah, rendang dan lontong.

Beliau mengakui detik itu perlu dihargai sepenuhnya kerana sebagai seorang atlet, ia menuntut jadual yang padat dan menyebabkan beliau kerap berjauhan dengan keluarga serta insan tersayang.  

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video