KUALA LUMPUR: Tanpa status pilihan utama, Man Wei Chong-Tee Kai Wun membuktikan keserasian lama masih berbisa apabila menumbangkan rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk merangkul gelaran beregu lelaki Terbuka Perancis, semalam.
Lebih manis, Wei Chong-Kai Wun bangkit selepas tewas set pertama sebelum menundukkan pilihan keenam kejohanan itu 13-21, 21-15, 21-7 pada aksi final di Arena Grand Paris.
Wei Chong berkata, mereka turun tanpa meletakkan tekanan untuk memburu kemenangan, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan berjuang mendapatkan setiap mata.
“Kami tidak terlalu memikirkan soal menang atau kalah kerana kami sedar kami bukan pilihan. Kami hanya mahu bermain sebaik mungkin dan cuba mendapatkan setiap mata,” katanya dalam temu bual dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kejayaan itu cukup bermakna buat pasangan berkenaan yang sebelum ini tidak pernah melepasi suku akhir Terbuka Perancis, selain baru kembali digandingkan pada Ogos lepas menerusi rombakan struktur beregu lelaki negara sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Kai Wun berkata, pendekatan satu perlawanan pada satu masa menjadi pegangan mereka ketika ini memandangkan aspek konsistensi masih perlu diperbaiki.
Beliau berkata, mereka juga sentiasa saling mengingatkan supaya memberikan yang terbaik hingga mata terakhir, pendekatan yang membantu pasangan itu mengharungi cabaran sepanjang kejohanan berstatus Super 750 berkenaan.
Pengalaman bergandingan selama lebih lima tahun sebelum ini turut memudahkan Wei Chong-Kai Wun membina semula keserasian selepas kembali disatukan.
Dalam pada itu, Wei Chong memaklumkan, kecederaan lutut yang sebelum ini menjejaskan persiapannya kini hampir pulih sepenuhnya.
Beliau percaya ketiadaan sasaran tinggi dalam beberapa kejohanan selepas kembali daripada kecederaan membolehkan mereka beraksi dengan lebih bebas tanpa dibebani tekanan.
-- BERNAMA