KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) berhasrat memperkukuh skuad dengan mendapatkan khidmat seorang penjaga gol tempatan dan pemain dari Jepun pada jendela perpindahan pemain kedua Liga Super musim ini.
Ketua jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim berkata pihaknya sedang meneliti kedua-dua calon berkenaan, namun keputusan membawa masuk pemain baharu bergantung pada kelulusan pengurusan kelab.
“Ketika ini, kami sedang meneliti seorang penjaga gol yang pernah beraksi dalam Liga Super, selain seorang pemain dari Jepun yang pernah bermain di Singapura.
“Bagaimanapun, pihak kelab masih belum memberikan lampu hijau untuk membawa masuk pemain berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super menentang Star City FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Beliau berkata usaha memperkukuh pasukan itu turut bergantung pada penyelesaian tunggakan bayaran gaji pemain terdahulu yang dianggarkan antara RM1.5 juta hingga RM1.7 juta.
Pengurusan kelab, katanya, sedang berusaha mendapatkan dana bagi menyelesaikan tuntutan berkenaan yang menyebabkan KRW FC berdepan sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu.
Irfan Bakti berkata penambahan pemain amat diperlukan, khususnya di bahagian tengah dan pertahanan, selepas pasukan itu mengalami kekalahan berturut-turut dengan bolos banyak gol.
“Kami kalah dari segi fizikal dan bola udara. Dalam perlawanan malam tadi, tiga gol lawan dihasilkan menerusi sepakan penjuru, menunjukkan kelemahan kami ketika berdepan bola tinggi,” katanya.
Pada perlawanan itu, KRW FC tewas 2-5 kepada Star City FC di laman sendiri.
-- BERNAMA