KUALA LUMPUR: Kuching City FC mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas Kelantan Red Warrior dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, semalam.
Kuching City membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Muhammad Ramadhan Saifullah Usman yang melakukan sungkitan untuk menewaskan penjaga gol Amin Faisal Mohd Saidi.
Kelebihan itu kemudian digandakan pada minit ke-14 menerusi pemain import Jerome Mpacko Etame yang menyudahkan hantaran dari bahagian tengah dengan sepakan untuk menghasilkan gol kedua Kuching City.
Muhammad Safawi Rasid memastikan Kuching City terus berada di depan apabila meledakkan gol ketiga menerusi rembatan kencang masa tambahan, sekali gus menghukum kelemahan benteng pertahanan lawan.
Bersambung babak kedua, Jerome menambah gol keempat hasil hantaran lintang Filemon Anyie Standly pada minit ke-54, sebelum Muhammad Safawi menambah tekanan ke atas pasukan lawan dengan meledakkan gol kelima menerusi sepakan deras di depan pintu gol selang dua minit kemudian.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching City FC berada di kedudukan kedua carta Liga Super, manakala Kelantan Red Warriors FC kekal di tangga tercorot selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut.
Sementara itu, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini, KL City FC berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan DPMM FC 1-0.
Pasukan pelawat hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Felipe Aspegren namun rembatannya sekadar terkena palang.
Skuad City Boys itu turut meraih peluang untuk mencetak gol pertama perlawanan namun rembatan kepten pasukan Paulo Josue pada minit ke-38 sedikit tersasar, sekali gus menyaksikan separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari jaringan.
KL City terpaksa bermain dengan 10 orang apabila pemain tengahnya Gary Steven Robat dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap pemain lawan pada penghujung perlawanan.
Bagaimanapun, situasi itu langsung tidak mematahkan semangat anak buah Dollah Salleh apabila akhirnya berjaya meraih jaringan pada masa kecederaan.
DPMM kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Dalbero Luan Belo namun jaringan itu dibatalkan kerana berada di kedudukan ofsaid, sekali gus memberi kemenangan pertama buat KL City musim ini.
Di Iskandar Puteri, Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol selepas membelasah Star City FC 7-0 dalam satu lagi aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Penyerang sensasi Bergson Da Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi rembatan dalam kotak penalti hasil hantaran Shahab Zahedi, sekali gus mencetak jaringan pertama saingan Liga Super musim ini.
Marcos Guilherme menggandakan kelebihan Harimau Selatan pada minit ke-31 menerusi percubaan luar kotak penalti, selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan beliau tidak berada dalam kedudukan ofsaid.
Bergson sekali lagi mencatatkan nama sebagai penjaring apabila menewaskan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang gagal menepis sepakannya untuk gol ketiga JDT empat minit kemudian.
Asakan bertali arus skuad kendalian Xisco Munoz terus menghukum Star City FC apabila Kevin Medina mudah menanduk masuk hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-42 bagi menjadikan kedudukan 4-0, sementara tandukan Shahab Zahedi menyempurnakan gol kelima pada masa kecederaan.
Anak buah Mehmed Durakovic memperoleh peluang yang baik untuk menjaringkan gol pada babak kedua apabila Douglas Oliveira cuba memasuki kawasan kotak penalti JDT, namun berjaya dirampas Kevin Medina pada minit ke-53.
Pasukan pelawat terus berputih mata apabila Carlos Akapo Martinez menjaringkan gol keenam pada minit ke-68, sebelum Bergson melakar hatrik pada minit ke-77 menerusi penalti yang dihadiahkan pengadil Ahmad Nawal Mohammad Zubir apabila sepakan Carlos Akapo terkena tangan pertahanan Star City FC, Muhammad Anwar Ibrahim dan keputusan kekal 7-0 sehingga wisel penamat.
--BERNAMA