Skip to main content

Sukan

Liga Super: Tierney buat Selangor gigit jari

PETALING JAYA, 11 April -- Pemain Selangor FC Chrigor Moraes diasak ketika menentang pasukan Sabah FC pada saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.  Keputusan penuh perlawanan Selangor FC 1-1 Sabah FC.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Chrigor Moraes diasak ketika menentang pasukan Sabah FC pada saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya, malam tadi. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jaringan penyerang Fergus Tierney pada separuh masa pertama menafikan hasrat Selangor FC untuk menjarakkan kedudukan di tangga kedua Liga Super 2025/2026 selepas terikat 1-1 dengan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, malam tadi.

Tonggak serangan Gergasi Merah Faisal Halim terlebih dahulu menceriakan penyokong tuan rumah apabila melepaskan sepakan lencong dari sebelah kiri yang menewaskan penjaga gol Damien Lim untuk gol pembukaan pada minit ke-31.

Advertisement

Bagaimanapun, Sabah hanya mengambil masa dua minit memadam kegembiraan Selangor apabila Tierney menyambar umpanan pemain pertahanan dari Brazil Gabriel Peres sebelum melepaskan sepakan kaki kiri bagi menyamakan kedudukan 1-1.

Sebaik babak kedua bersambung, penyerang dari Brazil Chrigor Moraes kembali meletakkan skuad Kim Pan Gon di depan namun kelebihan tersebut hanya bertahan buat seketika apabila rakaman video bantuan pengadil (VAR) membatalkan jaringannya selepas didapati berada dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-47.

Ketumpulan jentera serangan Selangor terserlah apabila beberapa siri serangan mereka gagal menembusi gawang Sabah dengan Damien cemerlang menafikan dua tandukan merbahaya dari Moraes pada minit ke-71 disusuli Pernambuco dua minit sebelum masa sebenar tamat.

Keputusan seri keempat juara Liga Super dua kali menyaksikan mereka mengumpul 43 mata dan hanya dibezakan satu mata dengan pencabar terdekat Kuala Lumpur City FC di kedudukan ketiga (42 mata) manakala Sabah kekal di posisi ke-10 selepas mengutip 16 mata.

Dalam pada itu, satu lagi aksi di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis menyaksikan Imigresen FC sekadar seri tanpa jaringan dengan Penang FC.

Imigresen kekal di tangga ketujuh liga dengan 22 mata dan Penang juga tidak berganjak dari kedudukan kesembilan selepas mengutip 20 mata.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

Must Watch Video