Skip to main content

Sukan

Malaysia muncul naib juara Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia 2026

Malaysia muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Remaja Dunia 2026 selepas tewas 1-2 kepada China pada aksi final di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir, hari ini. - Gambar Bernama
Malaysia muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Remaja Dunia 2026 selepas tewas 1-2 kepada China pada aksi final di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir, hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Remaja Dunia 2026 selepas tewas 1-2 kepada China pada aksi final di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir, hari ini.

Walaupun gagal merangkul gelaran juara, skuad muda negara wajar diberikan pujian atas kempen cemerlang mereka, sekali gus menamatkan penantian untuk kembali ke pentas final kejohanan itu sejak edisi 2017 di Yogyakarta, Indonesia.

Dalam perlawanan menggunakan format relay 55 mata, China memenangi pusingan pertama 55-46 sebelum Malaysia bangkit untuk memenangi pusingan kedua 55-53, sekali gus mengheret perlawanan ke pusingan penentuan.

China menguasai pusingan pertama menerusi kemenangan perseorangan wanita apabila Yi Qing Yin menewaskan Saidatul Saadiah Muhammad 11-5 sebelum Jing Yu Luo mengatasi Tiew Wei Jie 22-13 dalam perseorangan lelaki.

China terus melebarkan jurang menerusi beregu wanita Si Chen-Shi Wei Yue Yue yang menewaskan pasangan negara Genevie Lim-Low Zi Yu 33-18. Beregu campuran Feng Yi Lang-Li Meng Han kemudian mengatasi Zulwaqqarizal Ahmad-Low Zi Yu 44-30.

Usaha beregu lelaki negara Damien Ling-Shazmir Irfan Sharul, untuk merapatkan jurang pada penghujung pusingan tidak berhasil apabila mereka tewas kepada Yi Chen Tu-Wei Gang Zheng, sekali gus menyaksikan China menutup pusingan pertama dengan kemenangan 55-46.

Malaysia bangkit pada pusingan kedua meskipun ketinggalan selepas dua aksi perseorangan awal dengan Yi Xin Zhang dan Hong Tian Yue masing-masing membantu China mendahului 11-6 dan 22-18.

Bagaimanapun, gandingan beregu wanita Genevie-Zi Yu merapatkan jurang dengan menewaskan Chen Shi-Yue Yue 33-30, sebelum Shazmir Irfan-Genevie mengatasi pasangan China, Yi Lang-Meng Han, 44-36 dalam beregu campuran.

Gandingan Shazmir Irfan-Zulwaqqarizal kemudian memastikan Malaysia memenangi pusingan itu 55-53 selepas menewaskan pasangan China Chen Tu-Gang Zheng.

Namun, China kembali menguasai pusingan penentuan apabila Yin Yi Qing menewaskan Saidatul 11-3, diikuti kemenangan Luo Jing Yu ke atas Tiew Wei Jie 22-9 dalam perseorangan lelaki.

China terus menambah mata menerusi beregu wanita apabila Chen Shi-Yue Yue mengatasi Genevie-Zi Yu 33-26, sebelum Feng Yi Lang-Li Meng Han menewaskan Zulwaqqarizal-Zi Yu 44-35 dalam beregu campuran.

Gandingan beregu lelaki China, Yi Chen Tu-Wei Gang Zheng, akhirnya mengesahkan kemenangan pasukan itu dengan menewaskan Damien Ling-Shazmir Irfan 55-45, sekali gus memastikan China muncul juara dengan kemenangan keseluruhan 2-1.

Malaysia mara ke final selepas menewaskan juara edisi 2024, Indonesia, 2-0 pada aksi separuh akhir semalam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement