Skip to main content

Sukan

Man City pecah rekod kelab, sambar Elliott Anderson £116 juta

X @FabrizioRomano
Kehadiran Anderson juga dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan Manchester City memasuki era baharu selepas pemergian pengendali berprofil tinggi, Pep Guardiola. - Foto X/Fabrizio Romano
Advertisement

MANCHESTER: Manchester City dilaporkan mencapai persetujuan dengan Nottingham Forest untuk mendapatkan pemain tengah England, Elliott Anderson, menerusi perjanjian bernilai rekod kelab sebanyak £116 juta (sekitar RM630 juta).

Menurut laporan BBC, perpindahan itu bakal menjadikan Anderson, 23, sebagai pemain termahal dalam sejarah Manchester City, mengatasi rekod sebelum ini iaitu £100 juta yang dibayar bagi mendapatkan Jack Grealish pada tahun 2021.

Perjanjian itu juga merupakan jualan paling mahal pernah dicatatkan oleh Nottingham Forest.

Anderson kini bersama skuad England di Piala Dunia dan telah diturunkan dalam dua perlawanan setakat ini, iaitu kemenangan 4-2 ke atas Croatia serta keputusan seri tanpa jaringan menentang Ghana.

England yang mengetuai Kumpulan L dijadualkan menentang Panama dalam aksi seterusnya di New Jersey pada Sabtu.

Produk akademi Newcastle United itu menyertai Nottingham Forest pada tahun 2024 dengan nilai £35 juta.

Sejak itu, beliau telah membuat 92 penampilan, menjaringkan enam gol serta mencatatkan 11 bantuan gol bersama kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan.

Prestasi konsisten beliau menarik minat Manchester City yang mahu memperkukuh barisan tengah menjelang musim baharu.

Kehadiran Anderson juga dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan Manchester City memasuki era baharu selepas pemergian pengendali berprofil tinggi, Pep Guardiola, yang meninggalkan kelab itu selepas satu dekad penuh kejayaan.

City menamatkan musim lalu sebagai naib juara di belakang Arsenal dan dijangka melakukan rombakan skuad untuk kembali mencabar kejuaraan.

Jika perpindahan ini dimuktamadkan, ia bukan sahaja mengukuhkan status Anderson sebagai antara pemain muda paling bernilai di Eropah, malah mencerminkan kesediaan City untuk terus melabur besar dalam usaha mengekalkan dominasi mereka di pentas domestik dan Eropah.
 

Must Watch Video

Advertisement