Skip to main content

Sukan

Mbappe gagal penalti, Betis hentikan rekod sempurna Real Madrid

Soccer Football - LaLiga - Real Betis v Real Madrid - Estadio La Cartuja, Seville, Spain - September 4, 2026 Real Madrid's Kylian Mbappe looks dejected after his penalty is saved by Real Betis' Alvaro Valles REUTERS/Marcelo Del Pozo TPX IMAGES OF THE DAY
Kylian Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika Real Betis menewaskan Real Madrid 1-0 dalam aksi La Liga pada Jumaat, sekali gus menamatkan permulaan sempurna pasukan kendalian Jose Mourinho musim ini.
Advertisement

SEVILLE: Kylian Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika Real Betis menewaskan Real Madrid 1-0 dalam aksi La Liga pada Jumaat, sekali gus menamatkan permulaan sempurna pasukan kendalian Jose Mourinho musim ini.

Kemenangan di Stadium La Cartuja itu hadir menerusi jaringan tunggal penyerang Republik Ireland, Troy Parrott, sembilan minit sebelum tamat permainan.

Real Madrid yang memburu kemenangan keempat berturut-turut musim ini tampil menguasai sebahagian besar perlawanan dan mencipta beberapa peluang berbahaya, namun gagal memecah kebuntuan.

Vinicius Junior hampir meletakkan pelawat di hadapan pada babak pertama selepas menerima hantaran Arda Guler, namun percubaannya hanya mengenai tiang gol.

Mbappe turut berpeluang mencetak nama sebagai penjaring, tetapi percubaannya berjaya dipatahkan pertahanan Betis, Natan dan Marc Bartra, ketika Real terus memberi tekanan menerusi beberapa serangan balas pantas.

Ketika pasukan pelawat rancak mengasak, Betis pula mengejutkan Madrid apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-81.

Gol itu hadir menerusi Parrott yang pantas menyambar bola muntah hasil tampanan Thibaut Courtois selepas penjaga gol Belgium itu terlebih dahulu menafikan tandukan Nelson Deossa.

Parrott, yang menyertai Betis dari AZ Alkmaar bulan lalu menerusi kontrak lima tahun, menghadiahkan gol sulungnya buat kelab baharu itu dalam penampilan pertama di hadapan penyokong sendiri.

Real menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan apabila Carlos Espi menyudahkan hantaran silang Vinicius menerusi sepakan akrobatik yang menarik, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan berlaku ofsaid dalam gerakan berkenaan.

Mbappe kemudian hampir menemui gol penyamaan apabila rembatannya terkena palang sebelum Madrid diberikan peluang terbaik untuk bangkit menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Vinicius dijatuhkan Natan di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, penjaga gol Betis, Alvaro Valles tampil sebagai wira apabila berjaya menepis sepakan Mbappe untuk memastikan tiga mata kekal menjadi milik tuan rumah.

Keputusan itu menyaksikan Betis mengumpul sembilan mata daripada empat perlawanan, menyamai kutipan Real Madrid menjelang aksi Liga Juara-Juara minggu depan.

Mourinho menyifatkan kekalahan itu sebagai sukar diterima memandangkan pasukannya mempamerkan persembahan yang baik sepanjang perlawanan.

"Pasukan bermain dengan baik. Kadangkala anda kalah dan sukar untuk menjelaskan bagaimana ia berlaku.

"Kami menguasai permainan, mencipta banyak peluang dan melakukan banyak percubaan. Jika seri pun kami pasti kecewa, jadi bayangkan bagaimana perasaan kami selepas tewas.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk dipersoalkan mengenai pemain. Kami mungkin layak untuk menang, tetapi layak menang tidak memberikan anda mata," katanya.

Barcelona kini berpeluang melebarkan jurang kepada tiga mata di puncak liga sekiranya berjaya menewaskan Valencia dalam aksi mereka, malam esok.

Real Madrid pula akan memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan menentang juara Itali, Inter Milan awal pagi Rabu, manakala Betis bertandang ke Perancis untuk berdepan Lille. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement