OVIEDO, SEPANYOL: Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi, mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak pertama menerima Anugerah Puteri Asturias untuk Sukan secara individu pada Jumaat.
Penyerang Inter Miami berusia 39 tahun itu menerima anugerah berprestij berkenaan daripada Puteri Leonor dalam satu majlis yang berlangsung di Teater Campoamor, Oviedo, dengan kehadiran Raja Sepanyol, Raja Felipe VI dan Permaisuri Letizia.
Anugerah yang diumumkan pada 3 Jun lalu itu mengiktiraf pencapaian luar biasa Messi sepanjang kariernya, selain sumbangannya dalam bidang kebajikan serta penghayatan nilai seperti kerendahan hati, semangat berpasukan dan permainan adil.
Juri turut memuji usaha Messi memperluaskan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik, selain komitmennya terhadap kejayaan secara kolektif.
Penerima lapan kali Ballon d'Or itu menyertai senarai tokoh bola sepak yang pernah menerima pengiktirafan sama, termasuk bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Xavi Hernandez, dan bekas penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas, yang berkongsi anugerah tersebut pada 2012.
Sebelum ini, pasukan kebangsaan Brazil turut menerima Anugerah Puteri Asturias untuk Sukan pada 2002 selepas muncul juara Piala Dunia buat kali kelima.
Pengiktirafan terbaharu itu menambah lagi koleksi pencapaian Messi, yang secara meluas dianggap antara pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman. - Agensi