BEKAS bintang UFC, Nate Diaz menegaskan dia masih berminat untuk melengkapkan trilogi menentang Conor McGregor, namun enggan menjadikannya sebahagian daripada naratif kebangkitan semula petarung Ireland itu.
Diaz berkata dia mahu menentang lawan terbaik ketika mereka masih berada di tahap terbaik, dan bukannya bertarung dengan McGregor yang dianggap masih bergelut untuk kembali ke prestasi sebenar selepas mengalami kecederaan serius beberapa tahun lalu.
Menurut Diaz, UFC pernah menawarkan pertarungan trilogi tersebut, namun dia memilih untuk meneruskan pertarungan menentang Mike Perry yang dianggapnya sebagai cabaran lebih sukar ketika ini.
“Conor memang hebat, tetapi saya tidak mahu jadi penamat kepada kisah kemunculannya semula,” kata Diaz dalam satu temu bual podcast baru-baru ini.
Untuk rekod, Diaz dan McGregor masing-masing mencatat satu kemenangan dalam dua pertemuan terdahulu pada 2016.
Diaz mengejutkan dunia UFC apabila menewaskan McGregor menerusi submission di UFC 196 sebelum McGregor membalas dendam menerusi kemenangan keputusan majoriti di UFC 202.
Dalam masa sama, Diaz turut melepaskan kritikan pedas terhadap Dustin Poirier yang sebelum ini menyatakan minat untuk kembali daripada persaraan semata-mata bagi menentangnya.
Diaz menyifatkan Poirier sebagai petarung yang mahu menggunakan namanya untuk membina semula momentum karier selepas bersara daripada UFC.
Poirier sebelum ini mengakui dia bersedia kembali ke Octagon sekiranya diberi peluang menentang Diaz, selepas perancangan pertarungan mereka sebelum ini gagal direalisasikan akibat isu rundingan kontrak.
Ketika spekulasi mengenai kepulangan McGregor semakin hangat diperkatakan, Presiden UFC, Dana White baru-baru ini memberi bayangan bahawa bekas juara dua divisyen itu hampir pasti kembali beraksi pada musim panas tahun ini selepas kali terakhir bertarung pada 2021.
Diaz dijadual kembali ke arena seni bela diri campuran (MMA) menentang Perry pada 16 Mei ini dalam acara anjuran Most Valuable Promotions yang turut menampilkan beberapa nama besar lain dalam dunia sukan tempur.
-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.