Skip to main content

Sukan

MotoGP: Alex Marquez, Zarco dibenar keluar hospital selepas kemalangan

MotoGP - Catalunya Grand Prix - Circuit de Barcelona, Barcelona, Spain - May 17, 2026 An ambulance arrives at the track after Gresini Racing's Alex Marquez sustains an injury during a crash in the MotoGP race REUTERS/Nacho Doce
Pelumba Gresini Racing, Marquez, terlibat dalam kemalangan selepas merempuh bahagian belakang jentera Pedro Acosta sebelum melambung dan terhempas di kawasan perangkap batu kerikir. -Foto Reuters

MONTMELO: Pelumba MotoGP Alex Marquez dan Johann Zarco dibenarkan keluar dari hospital selepas mengalami kecederaan dalam kemalangan berasingan pada Grand Prix Catalan, Ahad lalu.

Insiden itu memaksa perlumbaan di Litar Barcelona-Catalunya dihentikan seketika dengan kibaran bendera merah sebanyak dua kali.

Pelumba Gresini Racing, Marquez, terlibat dalam kemalangan selepas merempuh bahagian belakang jentera Pedro Acosta sebelum melambung dan terhempas di kawasan perangkap batu kerikir.

Pemeriksaan imbasan mengesahkan adik kepada Marc Marquez itu mengalami retakan kecil pada tulang vertebra berhampiran leher serta patah tulang selangka kanan.

“Alex Marquez telah menjalani pembedahan malam tadi bagi merawat patah tulang selangka kanan yang kini distabilkan dengan pemasangan plat logam,” menurut kenyataan Gresini Racing pada Isnin.

Sementara itu, selepas perlumbaan dimulakan semula, pelumba LCR Honda, Johann Zarco, terlibat dalam kemalangan berantai bersama juara bertahan Francesco Bagnaia (Ducati) dan Luca Marini (Honda).

Zarco terseret di kawasan perangkap batu dengan kakinya tersangkut pada jentera Bagnaia, menyebabkan beliau mengalami kecederaan ligamen lutut serta retakan kecil pada buku lali.

“Johann Zarco telah dibenarkan meninggalkan Hospital Universitari General de Catalunya pada petang Isnin untuk pulang ke Perancis,” menurut kenyataan LCR Honda.

Zarco dijadualkan menjalani pemeriksaan lanjut bersama pakar lutut, Dr Bertrand Sonnery-Cottet di Lyon pada Selasa bagi menentukan proses pemulihan.

 

Must Watch Video