Skip to main content

Sukan

Neymar kembali dipanggil sertai skuad Brazil ke Piala Dunia 2026

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Brazil coach Carlo Ancelotti speaks to media ahead of the World Cup - Museu do Amanha, Rio de Janeiro, Brazil - May 18, 2026 Brazil coach Carlo Ancelotti names Santos' Neymar in his squad during the press conference REUTERS/Ricardo Moraes
Pemilihan Neymar dalam skuad 26 pemain diumumkan oleh ketua jurulatih Carlo Ancelotti, yang mengambil alih pasukan Brazil pada Mei 2025. - Foto REUTERS

RIO DE JANEIRO: Penyerang sensasi Neymar disenaraikan dalam skuad kebangsaan Brazil untuk Piala Dunia 2026, keputusan yang mengejutkan ramai penganalisis dan bekas pemain bola sepak negara itu.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, sebelum ini diragui kemampuannya untuk kembali ke prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) pada Oktober 2023.

Pemilihan Neymar dalam skuad 26 pemain diumumkan oleh ketua jurulatih Carlo Ancelotti, yang mengambil alih pasukan Brazil pada Mei 2025.

Sebelum ini, Ancelotti tidak memanggil Neymar dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa, menyebabkan ramai pemerhati menjangkakan beliau mungkin tidak tersenarai ke Piala Dunia.

Namun, pengalaman luas dan rekod cemerlang Neymar dipercayai menjadi faktor utama pemilihannya kali ini.

Selain Neymar, beberapa pemain utama Brazil yang menunjukkan prestasi konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut disenaraikan, termasuk Vinicius Junior dan Raphinha.

Kedua-dua pemain itu dijangka memainkan peranan penting dalam cabaran Brazil di kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Utara.

Walaupun skuad diumumkan, Ancelotti berdepan cabaran besar apabila beberapa pemain penting terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Antara kehilangan utama ialah penyerang muda Rodrygo dan Estevao, yang tidak dapat menyertai skuad kali ini.

Situasi itu menambah tekanan terhadap Ancelotti, yang sebelum ini juga berdepan kritikan selepas prestasi tidak konsisten sejak mengambil alih pasukan.

Bagaimanapun, beliau baru-baru ini melanjutkan kontrak bersama Persekutuan Bola Sepak Brazil sehingga Piala Dunia 2030, menunjukkan keyakinan pihak pengurusan terhadap kepimpinannya.


Senarai skuad Brazil

Penjaga gol:  
Alisson (Liverpool), Ederson (Fenerbahce), Weverton (Gremio)

Pertahanan:
Alex Sandro, Danilo, Leo Pereira (Flamengo), Bremer (Juventus), Ibanez (Al-Ahli), Wesley (Roma), Marquinhos (Paris Saint-Germain), Gabriel Magalhaes (Arsenal), Douglas Santos (Zenit St Petersburg)

Tengah:  
Bruno Guimaraes (Newcastle), Casemiro (Manchester United), Danilo Santos (Botafogo), Fabinho (Al-Ittihad), Lucas Paqueta (Flamengo)

Penyerang:
Endrick (Lyon), Gabriel Martinelli (Arsenal), Igor Thiago (Brentford), Matheus Cunha (Manchester United), Raphinha (Barcelona), Vinicius Junior (Real Madrid), Luiz Henrique (Zenit St Petersburg), Neymar (Santos), Rayan (Bournemouth)


Fokus ke Piala Dunia

Dengan kehadiran campuran pemain berpengalaman dan bakat muda, Brazil dilihat masih mampu menjadi pesaing utama dalam Piala Dunia 2026.

Kembalinya Neymar dijangka memberi suntikan moral kepada pasukan, namun tahap kecergasannya akan menjadi faktor penentu sama ada beliau mampu memperagakan aksi terbaik di pentas dunia.
 

Must Watch Video