Skip to main content

Sukan

Nico Gonzalez sertai Newcastle United dalam perpindahan bernilai 52 juta pound

Soccer Football - Carabao Cup - Second Round - Newcastle United v West Bromwich Albion - St James' Park, Newcastle, Britain - August 26, 2026 New signing Newcastle United's Nico Gonzalez is presented to the crowd inside the stadium before the match Action Images via Reuters/Lee Smith EDITORIAL USE ONLY. NO USE WITH UNAUTHORIZED AUDIO, VIDEO, DATA, FIXTURE LISTS, CLUB/LEAGUE LOGOS OR 'LIVE' SERVICES. ONLINE IN-MATCH USE LIMITED TO 120 IMAGES, NO VIDEO EMULATION. NO USE IN BETTING, GAMES OR SINGLE CLUB/LEAGUE
Kehadiran Gonzalez dijangka memberi suntikan pengalaman kepada jentera tengah Newcastle - Foto REUTERS
Advertisement

NEWCASTLE: Newcastle United mengumumkan ketibaan pemain tengah Sepanyol, Nico Gonzalez dari Manchester City menerusi kontrak jangka panjang, sekali gus memperkukuh skuad mereka bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Walaupun nilai perpindahan itu tidak didedahkan secara rasmi, media Britain melaporkan Newcastle membayar sekitar 52 juta pound untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu.

Graduan akademi Barcelona itu meninggalkan Manchester City selepas mencatat 59 penampilan dan menjaringkan empat gol sejak menyertai kelab tersebut dari Porto pada tahun lalu.

"Saya sangat gembira berada di kelab yang hebat ini. Saya hanya mendengar perkara positif mengenai kelab dan bandar ini, jadi saya sangat teruja untuk tinggal di sini serta menjadi sebahagian daripada projek ini.

"Saya pernah beraksi dua kali di St James' Park bersama Manchester City dan ia sentiasa sukar. Suasananya luar biasa dan penyokongnya sangat bersemangat. Saya tidak sabar untuk merasainya sebagai pemain tuan rumah," kata Gonzalez dalam kenyataan kelab.

Sebelum ini, Gonzalez menyatakan hasrat untuk kekal bersama City, namun dia mengambil keputusan untuk berhijrah selepas persaingan di bahagian tengah semakin sengit susulan beberapa pemain baharu menyertai juara EPL itu.

Manchester City telah melengkapkan perpindahan pemain tengah Lille, Ayyoub Bouaddi, selain membawa masuk Elliot Anderson, sekali gus menambah pilihan di bahagian tengah pasukan.

Gonzalez juga menjadi antara beberapa pemain tengah yang meninggalkan City musim panas ini selepas Bernardo Silva, Rodri dan Tijjani Reijnders.

Kehadiran Gonzalez dijangka memberi suntikan pengalaman kepada jentera tengah Newcastle yang turut mengalami perubahan besar dengan pemergian beberapa tonggak utama termasuk Bruno Guimaraes dan Sandro Tonali.

Ketua jurulatih Newcastle, Matthias Jaissle, menyifatkan Gonzalez sebagai pemain berkualiti tinggi yang mampu memberi impak besar kepada pasukan.

"Saya sangat gembira melihat Nico menjadi pemain Newcastle United. Dia membawa kualiti tinggi dan pengalaman elit di kawasan penting di atas padang," kata Jaissle.

Gonzalez akan menyarung jersi nombor enam dan telah diperkenalkan kepada penyokong di St James' Park sebelum aksi Piala Liga menentang West Bromwich Albion pada Rabu.

Perpindahan itu menjadikannya pemain senior ketujuh yang ditandatangani Newcastle sepanjang jendela perpindahan musim panas kali ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement