ZANDVOORT (BELANDA): Juara dunia Lando Norris memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Belanda pada Ahad, yang merupakan perlumbaan pertama selepas rehat pertengahan musim, dengan saingan bermula dalam keadaan huru-hara susulan kemalangan dialami Max Verstappen, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Norris mengatasi George Russell yang bermula dari petak utama, namun kehilangan kedudukan pendahulu kepada pendahulu kejuaraan Kimi Antonelli ketika perlumbaan dimulakan semula dari petak grid susulan insiden membabitkan Verstappen.
Juara bertahan Norris mula merapatkan jurang menjelang pusingan ke-30 dan mengambil alih kedudukan pendahulu buat sementara waktu apabila Antonelli memasuki pit untuk menukar tayar baharu beberapa pusingan kemudian.
Norris kembali berada di belakang pelumba Itali itu dan pendahulu perlumbaan ketika itu, Lewis Hamilton dari Ferrari, selepas beliau sendiri melakukan hentian pit. Namun, dengan tayar yang lebih baharu serta dibantu masalah yang dihadapi Antonelli pada bahagian belakang jenteranya, Norris memintas kedua-dua pencabarnya pada pusingan ke-54 untuk mengambil alih kedudukan pertama sehingga tamat perlumbaan.
Selepas melakukan hentian pit terakhir, Antonelli jatuh ke kedudukan ketiga di belakang rakan sepasukan Mercedes, Russell, namun Russell kemudian menerima arahan pasukan supaya memberi laluan kepada pelumba Itali itu pada pusingan-pusingan terakhir.
Antonelli menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Russell berdepan tekanan hebat daripada Hamilton yang cuba merampas kedudukan ketiga.
Ini merupakan GP Belanda terakhir di bawah kontrak semasa, dengan perlumbaan berkenaan tidak lagi akan disenaraikan dalam kalendar F1.
-- BERNAMA-dpa