Skip to main content

Sukan

ONE: Aliff sedia gegar takhta Prajanchai, buru gelaran dunia mutlak strawweight

Aliff bakal berdepan cabaran terbesar dalam kariernya apabila dijadual menentang juara dunia ONE Championship, Prajanchai PK Saenchai, dalam aksi penyatuan gelaran dunia Muay Thai strawweight pada 18 Disember depan. - Foto Instagram/@ONEChampionship
Aliff bakal berdepan cabaran terbesar dalam kariernya apabila dijadual menentang juara dunia ONE Championship, Prajanchai PK Saenchai, dalam aksi penyatuan gelaran dunia Muay Thai strawweight pada 18 Disember depan. - Foto Instagram/@ONEChampionship

Advertisement

Ringkasan AI

  • Ahmad Nor Iman Aliff Rakib akan menentang juara dunia ONE Championship, Prajanchai PK Saenchai, bagi penyatuan gelaran dunia Muay Thai strawweight pada 18 Disember.
  • Pertarungan lima pusingan di Stadium Lumpinee, Bangkok, akan menentukan juara dunia mutlak divisyen tersebut dalam acara ONE: The Inner Circle 43.
  • Aliff, juara interim selepas menewaskan Sam-A Gaiyanghadao, bakal berdepan Prajanchai yang memiliki lebih 340 kemenangan sepanjang kariernya.

KUALA LUMPUR: Jaguh Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau Aliff Sor Dechapan bakal berdepan cabaran terbesar dalam kariernya apabila dijadual menentang juara dunia ONE Championship, Prajanchai PK Saenchai, dalam aksi penyatuan gelaran dunia Muay Thai strawweight pada 18 Disember depan.

Pertarungan yang bakal berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, menerusi acara ONE: The Inner Circle 43 itu akan menentukan siapa yang layak bergelar juara dunia 'undisputed' atau juara mutlak divisyen berkenaan.

ONE Championship dalam pengumumannya pada Ahad mengesahkan pertembungan lima pusingan itu, sekali gus menamatkan penantian hampir setahun untuk menyaksikan kedua-dua petarung berentap di gelanggang.

Aliff, 22, sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, untuk Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight pada acara ONE: The Inner Circle 23, Julai lalu.

Pertarungan itu menyaksikan Aliff menumpaskan lawannya menerusi knockout pada pusingan kelima, sekali gus dinobatkan sebagai juara dunia interim (sementara) Muay Thai strawweight, selain menerima bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM204,570).

Kejayaan bersejarah itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Aliff atas pencapaiannya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, misi Aliff untuk bergelar juara dunia mutlak atau tidak dipertikai bukan sesuatu yang mudah apabila bakal berdepan Prajanchai, 32, iaitu antara petarung paling berpengalaman dalam arena Muay Thai dunia.

Jaguh Thailand itu memiliki rekod luar biasa dengan lebih 340 kemenangan sepanjang kariernya, selain pernah memegang dua gelaran dunia ONE Championship secara serentak dalam disiplin Muay Thai dan kickboxing.

Prajanchai turut dikenali dengan kebijaksanaannya membaca pergerakan lawan, mengawal jarak serta melancarkan serangan balas yang tepat, menjadikannya antara petarung paling sukar ditewaskan dalam divisyen berkenaan.

Namun, juara dunia itu bakal turun dengan misi menebus kekecewaan selepas tewas kepada Wang Junguang dari China menerusi keputusan berbelah bagi )split decision) dalam aksi kickboxing di The Inner Circle 35, Jumaat lalu.

Pertarungan tersebut merupakan penampilan semulanya selepas berehat panjang akibat kecederaan yang memerlukan pembedahan.

Bagi Aliff pula, kemenangan ke atas Sam-A sebelum ini melebarkan rekod kemenangannya kepada enam pertarungan berturut-turut, sekali gus meningkatkan rekod profesionalnya kepada 63 kemenangan dan sembilan kekalahan.

Selain memiliki kelebihan dari segi ketinggian dan jangkauan, Aliff turut dikenali dengan serangan tendangan kiri yang berbisa serta kebolehannya mencari ruang untuk melancarkan serangan balas.

Pertembungan Disember ini bakal menjadi medan pertembungan dua generasi, iaitu antara pengalaman luas Prajanchai dengan semangat serta keupayaan Aliff yang sedang berada pada kemuncak prestasinya.
 

Must Watch Video

Advertisement