Ringkasan AI
- Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menewaskan Diego Paez menerusi keputusan sebulat suara dalam aksi ulangan kategori flyweight Muay Thai di Bangkok.
- Kemenangan ini menebus kekalahan Jojo kepada Paez pada ONE Fight Night 32, Jun tahun lalu.
- Kejayaan tersebut menamatkan rentetan dua kekalahan berturut-turut Jojo dan memberi suntikan semangat untuk saingan ONE Championship.
KUALA LUMPUR: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo, akhirnya berjaya melunaskan dendam kekalahannya kepada Diego Paez selepas menewaskan petarung Colombia-Amerika Syarikat itu dalam aksi ulangan pada Jumaat.
Petarung berusia 19 tahun itu meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) selepas mengharungi pertarungan tiga pusingan dalam kategori flyweight Muay Thai pada acara The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.
Kemenangan tersebut sekali gus membolehkan Jojo menebus kekalahan kepada lawan yang sama yang pernah menewaskannya menerusi keputusan berbelah bagi (split decision) pada aksi ONE Fight Night 32, Jun tahun lalu.
Pertarungan menyaksikan Jojo tampil agresif dengan tekanan berterusan terhadap lawannya, sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada dirinya.
Kemenangan ke atas Paez juga cukup bermakna buat Jojo selepas melalui tempoh sukar tahun ini apabila tewas dalam dua pertarungan berturut-turut kepada Shimon Yoshinari dan Ramadan Ondash.
Sebelum itu, beliau pernah bangkit daripada kekalahan pertama kepada Paez dengan mencatat dua kemenangan ke atas Zakaria El Jamari dan Ye Yint Naung.
Keputusan terbaharu ini bukan sahaja menamatkan rentetan dua kekalahan Jojo, malah menjadi suntikan semangat buat petarung muda itu untuk kembali membina momentum dalam saingan ONE.
Lebih penting, Jojo akhirnya berjaya menyelesaikan urusan yang belum selesai dengan Paez selepas lebih setahun menantikan peluang untuk membuktikan kemampuannya dalam pertemuan kedua mereka.