Skip to main content

Sukan

Pahang mohon keputusan segera sebarang perubahan venue SUKMA 2026

Fadzil Mohamad Kamal
Fadzli berharap pihak tuan rumah dapat memberi maklum balas segera kerana penginapan telah ditempah. - Gambar Bernama

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memohon keputusan segera berhubung sebarang perubahan lokasi pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor bagi mengelakkan pertambahan kos susulan tempahan awal yang telah dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, perkara itu timbul, susulan penganjur tidak menyediakan perkampungan atlet serta cadangan perubahan lokasi acara sukan daripada kemudahan milik swasta kepada kemudahan sukan awam

Advertisement

“Kita harap pihak tuan rumah dapat memberi maklum balas segera kerana penginapan telah ditempah. Jika berlaku perubahan lokasi, ia akan melibatkan kos tambahan yang perlu diatur semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Sukan Pahang 2023/2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, pada Selasa.

Pada majlis itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada atlet, jurulatih dan persatuan sukan negeri.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor bercadang melaksanakan langkah penjimatan dengan mengurangkan hampir separuh kos asal penganjuran SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Fadzli berkata, sebarang perubahan lokasi pertandingan akan memberi implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri yang akan menghantar kira-kira 1,000 anggota kontinjen, termasuk lebih 700 atlet.

Beliau turut berharap semua acara yang telah dipersetujui bagi SUKMA 2026 dikekalkan bagi mengelakkan kerugian kepada atlet dan kontinjen negeri yang telah membuat persiapan rapi sejak hampir dua tahun lepas.

Mengulas sasaran Pahang pada temasya itu, beliau berkata, perkara berkenaan masih diperhalusi bersama Ketua Kontinjen Pahang, Khaizulnizam Mohd Zuldin yang sedang menilai prestasi setiap sukan sebelum dimuktamadkan.

“Sasaran itu ada, tetapi kita belum dapat umumkan lagi. Ketua kontinjen akan turun ke semua pusat latihan untuk mendapatkan gambaran lebih tepat kerana terdapat acara yang sebelum ini dipertandingkan, kini tidak lagi dipertandingkan,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, penganjuran SUKMA 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai serta pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, baginda kemudian berkenan agar temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu diteruskan secara berhemat selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video