MAGHRIBI gagal mengulangi aksi bertenaga mereka di suku akhir selepas kehilangan penyerang utama, Ismael Saibari yang diketepikan akibat kecederaan hamstring.
Ketiadaan tonggak serangan itu memaksa jurulatih Mohamed Ouahbi melakukan perubahan taktikal dengan menggunakan sistem tanpa penyerang tulen, namun percaturan berkenaan gagal menghasilkan ancaman berterusan ke atas gawang Perancis.
Selain kehilangan beberapa pemain utama di bahagian pertahanan dan sayap kiri, Singa Atlas turut berdepan kesukaran mencipta peluang berkualiti apabila serangan balas yang menjadi kekuatan mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan Les Bleus.
Brahim Diaz, Chemsdine Talbi dan Bilal El Khannouss cuba menghidupkan gerakan serangan dari bahagian tengah, namun ketiga-tiga pemain itu gagal memberi impak besar ketika Perancis lebih selesa mengawal tempo permainan.
Kekalahan itu mengulangi mimpi buruk Maghribi pada edisi 2022 di Qatar apabila mereka tewas dengan jumlah jaringan sama kepada Perancis dalam aksi separuh akhir.
Dalam pertemuan itu, gol Perancis dijaringkan Theo Hernandez seawal minit kelima dan Randal Kolo Muani minit ke 79. - Sinar Harian